Speaker DUN Sarawak akan maklumkan SPR kekosongan kerusi N67 Jepak

Bernama
September 15, 2023 05:45 MYT
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang Jumaat ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu pada Khamis. - Gambar fail BERNAMA
KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan kekosongan di kerusi N67 Jepak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip semalam.
Timbalan Speaker DUN Sarawak Datuk Idris Buang berkata sebagaimana yang diperuntuk dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Asfia mengemukakan notis kepada SPR tentang kekosongan itu.
"Speaker selepas ini akan memberitahu pihak SPR agar pihak SPR mengeluarkan perintah dan writ untuk pilihan raya kecil (PRK) kerana kita ada lebih kurang tiga tahun lagi hayat DUN," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Pusat Perubatan Normah di sini malam tadi.
Beliau berkata Perlembagaan Negeri Sarawak mengkehendaki PRK diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis kekosongan dimaklumkan kepada SPR.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang semalam ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu pada Khamis.
Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.
-- BERNAMA
#Speaker DUN Sarawak #kekosongan kerusi N67 Jepak #SPR #talib zulpilip
;