SPARK CDC lakar sejarah dengan sistem AI Pediatrik pertama di Malaysia
Amzar Alif
Disember 12, 2024 17:00 MYT
Disember 12, 2024 17:00 MYT
PETALING JAYA: Spark Child Development Centre (SPARK CDC) menerusi klinik pakar kanak-kanak miliknya Signature Child Specialist Clinic, mencipta sejarah baharu dalam bidang pediatrik dengan pelancaran sistem pengesanan pediatrik berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia.
Ringkasan AI
- SPARK CDC melancarkan sistem pengesanan pediatrik berasaskan AI pertama di Malaysia, dikenali sebagai GEMS Model, untuk membantu pengesanan awal masalah perkembangan kanak-kanak.
- Sistem ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dan direka untuk mengubah penjagaan kesihatan pediatrik kepada model penyertaan berpusatkan keluarga, serta memperkasakan ibu bapa dengan strategi dan sumber yang boleh dipercayai.
- SPARK CDC merancang membuka tiga cawangan baharu di Klang, Setia Alam, dan Kedah pada tahun 2025 untuk memperluas akses kepada perkhidmatan terapi dan penjagaan, terutama untuk komuniti luar bandar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, yang juga Perunding Pakar Pediatrik, Dr Tan Gek Ling, inovasi ini direka bagi membantu pengesanan awal masalah perkembangan kanak-kanak agar membolehkan ibu bapa mendapatkan intervensi lebih awal dan efektif.
“Ia bertujuan mengubah penjagaan kesihatan pediatrik daripada model defisit fizikal tradisional kepada model penyertaan berpusatkan keluarga.
“Sistem ini dapat membantu dalam pengesanan dan intervensi awal, serta memperkasakan ibu bapa dengan strategi dan sumber boleh dipercayai untuk membantu perkembangan anak mereka,” katanya.
Sistem yang dikenali sebagai GEMS Model ini turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai sistem pengesanan AI pediatrik pertama negara yang berfungsi berdasarkan rangka kerja selaras dengan UNICEF.
“Diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai sistem saringan pediatrik AI pertama di Malaysia sebenarnya menandakan satu lagi pencapaian penting untuk negara ini dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju di peringkat global dalam mengadaptasi sistem AI untuk kesihatan kanak-kanak.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini, dan ia memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan kami dalam memajukan penjagaan kesihatan pediatrik, sejajar dengan visi global,” tambahnya.
Jelasnya, pembangunan sistem ini melibatkan kerjasama erat dengan beberapa universiti tempatan, termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Sunway, dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dalam majlis yang sama, SPARK CDC turut mencatat rekod kebangsaan dengan penganjuran acara Hari Sukan Kanak-Kanak yang menyaksikan penyertaan neurodiversiti terbanyak.
Acara ini berlangsung dalam suasana inklusif, melibatkan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dan keperluan khas bermain bersama.
Pengarah SPARK CDC merangkap Perunding Pakar Bedah, Dr Toh Charng Jeng, berkata motivasi mereka adalah untuk memastikan semua kanak-kanak menikmati hak yang sama tanpa mengira kebolehan, agama, atau bangsa.
“Kami berharap rekod ini dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang pentingnya menerima kanak-kanak istimewa supaya mereka dapat menikmati kehidupan seperti biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, SPARK CDC turut mengumumkan rancangan pembukaan tiga cawangan baharu di Klang, Setia Alam, dan Kedah pada tahun 2025.
Langkah ini bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan terapi dan penjagaan, terutama untuk komuniti luar bandar.
#SPARK CDC
#Signature Child Specialist Clinic
#Tan Gek Ling
#pakar kanak-kanak
#kanak-kanak istimewa
#Toh Charng Jeng
#GEMS model
#sistem pediatrik AI