SPAN serbu sebuah premis disyaki curi air di Pantai Remis

Bernama
September 25, 2024 21:58 MYT
SPAN memaklumkan operasi dilaksanakan dengan kerjasama LAP itu turut menyita 23 pam secara terus selepas meter daripada 110 premis yang menggunakan kemudahan itu secara tidak sah. - Gambar fail/Wikipedia
IPOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah premis selepas didapati melakukan penyambungan bekalan air secara haram dalam operasi khas dilaksanakan sekitar Jeti Bagan Panchor dan Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis dekat Lumut sejak 23 Sept hingga hari ini.
SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Air Perak (LAP) itu turut menyita 23 pam secara terus selepas meter daripada 110 premis yang menggunakan kemudahan itu secara tidak sah.
"Kesalahan-kesalahan ini telah dilakukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan perundangan subsidiarinya serta siasatan lanjut akan dilakukan oleh SPAN.
"Bagi penyambungan bekalan air secara haram, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), manakala premis yang menggunakan pam secara terus selepas meter disiasat di bawah Kaedah 45(1) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasang Paip) (Pindaan) 2024," mengikut kenyataan itu.
SPAN memaklumkan operasi dilaksanakan itu bermatlamat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan berkaitan perkhidmatan air dan merupakan inisiatif ke arah memastikan kestabilan bekalan melalui pendidikan serta pencegahan secara berterusan.
Justeru, SPAN memohon kerjasama orang awam melaporkan sebarang kes disyaki melakukan kesalahan berkaitan perkhidmatan air seperti mencuri bekalan atau perbuatan mencemar sumber air kepada SPAN melalui saluran WhatsApp di talian 013-388 5000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.
-- BERNAMA
#bekalan air #WhatsApp #Pantai Remis #SPAN
;