SPAN serbu bengkel kimpalan curi air di Negeri Sembilan

Bernama
September 10, 2024 21:51 MYT
Ainal berkata pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis berkenaan kerana ketika operasi dijalankan hanya terdapat penjaga atau pengawal di lokasi. - Gambar fail/Wikipedia
NILAI: Sebuah premis bengkel kimpalan dikesan melakukan sambungan bekalan air tidak sah melibatkan implikasi kerugian terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) kira-kira RM30,000 di Ulu Beranang, Lenggeng di sini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata pihaknya yang menerima aduan daripada SAINS berhubung perkara berkenaan, mendapati kecurian air di premis terbabit berlaku sejak dua tahun lepas.
Beliau berkata dalam operasi berkenaan, SPAN mendapati terdapat satu sambungan menggunakan paip jenis High Density Polyethylene (HDPE) berukuran 25 milimeter secara terus ke paip utama SAINS bagi menyalurkan bekalan air ke dalam premis dipercayai digunakan untuk aktiviti harian.
"Siasatan mendapati premis ini mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan SAINS tetapi bekalan airnya dipotong akibat tunggakan pembayaran RM2,186.60 ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ainal Yusman berkata pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis berkenaan kerana ketika operasi dijalankan hanya terdapat penjaga atau pengawal di lokasi.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara enam bulan jika sabit kesalahan.
Setakat ini, SAINS telah merekodkan 286 kes sambungan air tidak sah dengan jumlah tuntutan berjumlah RM244,736.
-- BERNAMA
#bekalan air #Sains #SPAN #HDPE
;