SPAD tidak benarkan kenaikan harga tiket sebelum Hari Raya

T K Letchumy Tamboo
Jun 16, 2013 23:57 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memutuskan untuk tidak tunduk kepada permintaan pengusaha bas menaikkan harga tiket sebelum menjelang sambutan Hari Raya nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, jika langkah ini dilaksanakan, ia akan menjadi beban buat orang ramai.
Mohd Nur Ismal berkata demikian berikutan permintaan baru-baru ini oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia untuk tidak menjual tiket lebih awal bagi bulan Julai dan Ogos dalam tempoh menjelang Hari Raya sehingga SPAD bersetuju untuk membenarkan kenaikan harga tiket sebanyak 30 peratus.
"Mereka tidak boleh mendesak kami seperti ini. Kita tidak boleh tunduk kepada permintaan ini sewenang-wenangnya kerana ia akan menjadi satu beban yang besar kepada orang ramai.
"Kami tidak akan menaikkan harga tiket sebelum Hari Raya disebabkan notis yang pendek. Tidak adil bagi mereka meminta kenaikan apabila musim perayaan sudah hampir.
"Kami telah bertemu dengan beberapa pengusaha bas dan beberapa daripada mereka bersedia untuk beroperasi walaupun tanpa peningkatan harga tiket," katanya kepada Astro AWANI.
Walau bagaimanapun, Nur Ismal Mohd tidak menolak kemungkinan kenaikan harga tiket selepas Hari Raya.
"Kami masih mengkaji permintaan mereka. Jika ada kenaikan harga, ia pasti tidak akan dibuat sebelum Hari Raya, "katanya.
Sementara itu, Presiden Pengusaha Bas SeMalaysia, Datuk Asfar Ali berkata ia terpulang kepada pengusaha bas untuk menerima keputusan SPAD.
"Kali terakhir terdapat peningkatan harga tiket adalah pada tahun 2008 iaitu lima tahun yang lalu. Ia adalah masa yang sesuai untuk meningkatkan hargat tiket.
"Pada 22 Mei, kami mengadakan mesyuarat dengan SPAD untuk meminta mereka mempertimbangkan kenaikan harga tiket sebanyak 30 peratus.
"Mereka berkata mereka akan mempertimbangkan keputusan itu. Kami tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan untuk tidak menaikkan harga, "katanya.
Asfar berkata persatuan tersebut telah disalah petik oleh sesetengah media yang melaporkan bahawa mereka tidak akan menjual tiket lebih awal untuk bulan Julai dan Ogos sehingga SPAD bersetuju untuk membenarkan kenaikan harga tiket sebanyak 30 peratus.
Kami tidak mempunyai kuasa untuk berbuat sedemikian,” katanya.
#hari raya #naik harga tiket #pengusaha bas #permintaan #SPAD