SPAD tidak akan sokong permohonan pekerja asing - Syed Hamid
Bernama
November 2, 2014 16:34 MYT
November 2, 2014 16:34 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan menyokong permohonan mana-mana pengusaha atau persatuan pengangkutan awam darat untuk mengambil pekerja asing untuk menampung kekurangan pekerja Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata mereka sebaliknya perlu mencari inisiatif ataupun formula lain untuk menangani isu tersebut.
"SPAD tidak akan menyokong permohonan ini. Pengusaha atau persatuan perlu mencari inisiatif atau formula untuk menarik pekerja khasnya golongan muda untuk bekerja di sektor ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Keselamatan Pemandu Lori Berat Johor di Galeri Pameran Truck Nation Malaysia Sdn Bhd yang dianjurkan Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor di sini pada Ahad.
Secara peribadi Syed Hamid berkata, bilangan pekerja asing yang terlalu ramai boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara dan jumlah pekerja asing yang ada kini, sudahpun mencecah tiga juta.
Sebelum itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor Frankie Chia dalam ucapannya menyuarakan permohonan lisan anggota persatuan itu yang mahu mendapatkan pekerja am asing di bengkel-bengkel kenderaan berat.
Menurut Chia, anggota persatuan itu mengadu sukar mendapatkan pekerja tempatan kerana banyak golongan muda sekarang tidak mahu bekerja dalam bidang berkenaan dengan alasan pekerjaan itu kotor.
Mengenai permohonan pengusaha teksi dari Johor Baharu ke Singapura untuk menaikkan harga tambang, Syed Hamid berkata SPAD telah mengkaji perkara itu dan menyerahkannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
"Kita bersimpati dengan apa yang mereka hadapi dan melihat ada keperluan untuk menaikkan tambang itu," katanya.
Justeru beliau meminta agar pengusaha bersabar kerana perkara itu melibatkan dua buah negara dan kerajaan memerlukan masa untuk membuat keputusan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Syed Hamid memuji persatuan tersebut kerana mengadakan kempen yang boleh membantu meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya melibatkan kenderaan berat bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.