SPAD tidak akan bertolak ansur salahguna lorong kecemasan
Bernama
Julai 5, 2016 07:39 MYT
Julai 5, 2016 07:39 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia tidak akan bertolak ansur dengan semua kenderaan yang menyediakan pengangkutan awam, perkhidmatan pengangkutan dan pelancongan yang menyalahguna lorong kecemasan.
"Pada 4 Julai 2016, SPAD, melalui rakaman video yang dikongsi di laman media sosial, mendapati beberapa buah teksi menghalang laluan ambulans yang menggunakan lorong kecemasan apabila menerima panggilan kecemasan.
"Kesalahan ini tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). SPAD juga memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan terhadap pemandu tersebut melalui pengusaha teksi berkaitan," kata SPAD dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Justeru, SPAD akan bekerjasama dengan JPJ untuk menyiasat insiden itu dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk penggantungan dan pembatalan Kad/Permit Kenderaan atau Lesen Pengendali pemandu melalui kuasa Suruhanjaya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kata kenyataan itu.
"SPAD ingin mengingatkan semua pengendali pengangkutan awam darat dan pemandu supaya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain pada setiap masa," kata kenyataan itu.