SPAD tiada kuasa kekang Dego Ride

Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2017 17:53 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mempunyai kuasa untuk mengekang kegiatan penyedia teksi motosikal (Dego Ride) yang semakin popular ketika ini kerana tiada peruntukan undang-undang mengenainya.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar bagaimanapun berkata, pengusaha terbabit perlu bersedia menghadapi tindakan undang-undang kerana beroperasi tanpa lesen.
“Saya suka dengan kreativiti yang ditunjukkan, mereka menyatakan bahawa teksi motosikal adalah untuk golongan pendapatan rendah dan idea itu datang dari golongan muda juga.
“Apapun motosikal tidak termasuk dalam senarai kenderaan yang dibenarkan untuk membawa penumpang dengan dikenakan bayaran, ia tidak dalam senarai pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran `Permulaan Kerja’ Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu di sini pada Isnin.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Syed Hamid berkata, isu keselamatan dan perlindungan insurans kepada penumpang untuk perlu menjadi keutamaan.
“Bagi SPAD, untuk menguatkuasakan peraturan juga sukar kerana ada 13 juta motosikal di seluruh negara dan kita tidak boleh memberhentikan setiap motosikal dan bertanya sama ada pembonceng membayar tambang atau tidak,” ujarnya.
BACA: Tiong Lai ingatkan Dego Ride jangan cabar undang-undang negara
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada penyedia Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.
#dego ride #LRT #MRT #Nabil Feisal Bamadhaj #SPAD
;