SPAD pandang serius kes pemandu bas pukul penumpang

Haron Shafie
Februari 2, 2016 17:28 MYT
SYED HAMID: Kelakuan sedemikian tidak menggambarkan etika budaya Malaysia dan kita tidak akan berkompromi. -Gambar fail
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu bas ekspres yang didakwa memukul dua penumpang ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka yang viral di media sosial baru-baru ini.
Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata tindakan termasuk membatalkan lesen memandu boleh dikenakan jika siasatan polis mendapati pemandu berkenaan bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
''SPAD akan menunggu sehingga siasatan polis selesai sebelum tindakan seterusnya diambil.
''Kelakuan sedemikian tidak menggambarkan etika budaya Malaysia dan kita tidak akan berkompromi,'' katanya kepada media selepas melancarkan bas baharu di Terminal Amanjaya, Meru Raya di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, bentuk tindakan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan polis dengan menggunakan peruntukan sedia ada sama ada mengambil tindakan terhadap pemandu atau syarikat pengusaha.
Pada 29 Januari lepas, seorang pemandu bas ekspres didakwa memukul dua penumpang kerana tidur di kerusi rehatnya semasa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka.
Mangsa yang berumur 35 dan 41 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Thaipusam.
#pemandu bas ekspres #pukul penumpang #SPAD #Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
;