SPAD mulakan proses penggantungan terhadap Qistna Express
Astro Awani
Julai 13, 2016 11:52 MYT
Julai 13, 2016 11:52 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan proses penggantungan lesen serta 26 permit bas yang dipegang oleh Qistna Express Sdn Bhd.
Ia ekoran kemalangan yang melibatkan bas syarikat tersebut pada 10 Julai 2016 lalu di Km265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pihaknya telah memulakan tindakan itu akibat pelanggaran syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD terhadap syarikat tersebut bertarikh 12 Julai 2016.
Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tindakan terhadap Qistna Express itu juga diharap menjadi peringatan tegas kepada pengendali bas ekspres untuk memastikan pematuhan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD dalam mengutamakan keselamatan pengguna, kata kenyataan itu lagi.
SPAD turut memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk memastikan pengendali bas mengoperasikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya.
#26 permit bas
#penggantungan lesen
#Qistna Express Sdn Bhd
#SPAD
#Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat