SPAD komited selesai kes ulat tiket dalam tempoh 24 jam
Bernama
September 26, 2016 22:11 MYT
September 26, 2016 22:11 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) komited untuk menyelesaikan dan mengambil tindakan segera bagi menangani kes melibatkan ulat tiket dalam tempoh 24 jam.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata pihaknya tidak akan menangguhkan, sebaliknya akan segera mengesan serta menahan individu terbabit bagi mengambil tindakan lanjut.
"Kita tidak akan bertangguh dalam melibatkan kes sensitif seperti ini dan jika ditangkap pada waktu malam, siasatan akan terus dilakukan dan keesokannya terus dikenakan tindakan termasuk dibawa ke mahkamah.
"Kes melibatkan ulat tiket ini dipandang serius dan kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya dari tahun 2011 hingga Ogos tahun ini seramai 320 ulat tiket telah ditahan dalam tangkapan yang dilakukan di sekitar terminal bas serta lapangan terbang seluruh negara.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 220 orang telah dituduh di mahkamah serta dikenakan kompaun manakala pada tahun ini sahaja sebanyak 11 kes ulat tiket telah dikesan.
Sementara itu, Che Hasni berkata pihaknya turut berhasrat untuk mengeluarkan kad pemandu kepada pemandu lori dan bas seperti yang dilakukan kepada pengusaha teksi.
Katanya langkah yang dilaksanakan itu bagi memudahkan mengesan pemandu yang melakukan kesalahan dan kad tersebut perlu dipamerkan dalam kenderaan.
"Sebelum ini kita hanya mengeluarkan kad tersebut kepada pemandu teksi namun kini kita berhasrat memperluaskan penggunaan kad itu kepada pengangkutan yang lain," katanya. – BERNAMA