SPAD kaji semua 20 cadangan dan 51 pelan penambahbaikan

Astro Awani
Januari 31, 2014 00:25 MYT
Bangkai bas yang terbabit dalam nahas ngeri di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013. --foto arkib
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengkaji semua 20 cadangan dan 51 pelan tindakan penambahbaikan manual prosedur kerja setelah laporan penuh mengenai nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos tahun lalu dikemukakan kepada suruhanjaya itu.
SPAD menjelaskan bahawa bas Syarikat Genting yang terlibat dalam nahas yang meragut 37 nyawa dan mencederakan 16 penumpang itu telah memulakan operasinya pada 1984 iaitu sebelum suruhanjaya berkenaan ditubuhkan.
SPAD turut mencadangkan supaya agensi-agensi berkaitan pengurusan keselamatan jalan raya di negara ini distruktur semula bagi memastikan transformasi keselamatan industri dapat dijalankan.
Ketika ini, pemeriksaan berjadual bagi kenderaan awam dan perdagangan dilakukan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi menentukan kelayakannya berada di jalan raya.
Struktur reka bentuk setiap kenderaan awam serta bilangan penumpang bagi bas duduk dan berdiri pula ditentukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JPJ turut bertanggungjawab mengeluarkan lesen kenderaan perkhidmatan awam kepada pemandu pengangkutan awam.
SPAD pula hanya mengeluarkan lesen pengendali setelah meneliti beberapa perkara berkaitan dengan syarikat dan sekiranya terdapat keperluan serta permintaan daripada rakyat.
#Genting Highlands #JPJ #nahas bas #nahas Genting #Puspakom #SPAD #Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat