SPAD diminta buat ketetapan mengenai meter baharu
Bernama
Mac 22, 2015 20:53 MYT
Mac 22, 2015 20:53 MYT
Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan ketetapan mengenai penentukuran meter yang dilakukan pemandu teksi.
Timbalan Pengerusinya, Ahmad Azmi Abd Majid, yang mewakili kira-kira 380 pemandu teksi dan kereta sewa, berkata ini kerana hampir 25 peratus pemandu teksi telah melakukan penentukuran itu susulan pengumuman SPAD mengenai kenaikan tambang teksi.
"Wujud kekeliruan sebab pemandu teksi yang melakukan penentukuran meter perlu ikut kadar tambang baharu yang diumumkan SPAD sebelum ini, namun mereka yang kekal dengan meter lama akan mengenakan tambang lama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khamis lepas, SPAD mengumumkan kenaikan tambang teksi berkuat kuasa serta merta manakala kenaikan tambang bas pula berkuat kuasa 15 Mei.
Namun, kabinet telah meminta SPAD menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu pengangkutan awam itu kerana ia tidak sesuai dilakukan pada masa sekarang selain dilihat menyusahkan rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Azmi berkata anggota persatuan terpaksa membayar RM106 kepada syarikat yang melakukan penentukuran kadar pada meter selain RM50 kepada Puspakom sebagai bayaran memastikan meter itu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
#Ahmad Azmi Abd Majid
#bas ekspres
#Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam
#SPAD
#Syed Hamid Albar
#tambang
#teksi