SPA bantu calon jalani temu duga termasuk secara maya
Abdul Hadi Awang
Julai 4, 2022 15:27 MYT
Julai 4, 2022 15:27 MYT
KANGAR: Suruhanraya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak akan meminggirkan mana-mana calon di kawasan luar bandar yang berhadapan dengan masalah terutama ketika proses temu duga secara maya dilaksanakan.
Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, memaklumkan bahawa pihak SPA telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam memberikan pilihan dan fleksibiti kepada calon khususnya kepada yang berhadapan dengan masalah gangguan internet termasuk ketika perlaksanaan beberapa perintah kawalan pergerakan sebelum ini.
Antaranya ialah memberi lebih peluang untuk calon-calon mendapatkan capaian yang lebih baik dengan proses temu duga secara atas talian diadakan di jabatan kerajaan yang terdekat dengan kediaman masing-masing.
Sekiranya kaedah berkenaan masih lagi tidak membuahkan hasil, SPA akan melaksanakan temu duga secara fizikal.
"Kita bagi banyak pilihan (dari segi temu duga), macam (calon-calon di pedalaman) Sabah (dan) Sarawak, bila kami guna ICT (atau kaedah atas talian) untuk temu duga, ada calon ketika temu duga terganggu, kami beri sekali lagi bagi peluang untuk dia, (untuk) kali kedua.
"Pada masa sama kalau tidak boleh juga (atau berdepan dengan masalah internet), kami akan tangguhkan temuduga itu kepada hari yang lain menggunakan ICT, andai kata tidak dapat juga, disebabkan capaian internet, kita buat secara fizikal.
"Katakan (juga semasa) kita buat di rumah tak boleh capai, kita (atau calon-calon buat di Pusat ICT, di Jabatan-jabatan kerajaan, guna kemudahan ICT mereka, (tetapi kena) beritahu SPA, (yang mana kami) akan hubungi mereka dan boleh temu duga pada masa berkenaan, ini kemudahan yang sangat fleksibel," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga SPA Malaysia, di UTC Perlis pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, dengan pembukaan pusat temu duga berkenaan diharapkan dapat memudahkan calon-calon dari negeri itu khususnya dari segi kos dan logistik.
"Sebelum ini, calon dari negeri Perlis ini) ada kita temu duga di Penang, di Kedah, di Putrajaya, tetapi dia orang Perlis, apabila ada pusat ini, ramai nanti akan minta untuk buat (temu duga) di sini.
"Ini disebabkan (jika) hendak pergi Putrajaya atau Pulau Pinang atau Kedah (untuk temuduga) boleh menyukarkan mereka, harapan kami gunakanlah peluang (ini), kalau boleh temuduga di sini, senang sikit, takdalah sampai bermalam di Kuala Lumpur dan sebagainya kecuali mereka (memang) berada di sana," katanya lagi.
Tambahnya untuk rekod, dari 2021 hingga Mei tahun ini, seramai 6,654 calon temu duga melibatkan pelbagai jawatan dan gred telah diadakan di negeri Perlis.
Ianya termasuklah sebelum pembukaan pusat temu duga berkenaan, dimana SPA telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bagi melaksanakan urusan temuduga di premis agensi atau jabatan berkenaan.