Sotong manis RM50: KPDN buat penilaian jawapan pemilik restoran
Sinar Harian
Disember 23, 2023 11:50 MYT
Disember 23, 2023 11:50 MYT
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuat penilaian jawapan yang diberikan pemilik restoran berhubung sotong manis yang dijual dengan harga RM50 seekor.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, notis telah dikeluarkan kepada pemilik restoran tersebut untuk memberikan jawapan tertentu berhubung tindakan mereka itu.
"Saya fikir sudah (beri jawapan) selepas dua hari mereka menjawab notis daripada KPDN dan kita akan membuat penilaian jawapan yang diberikan restoran itu secara rasmi.
"Kita akan melihat kalau ada pencatutan yang bermaksud harga asal mereka itu tiba-tiba dinaikkan dengan tinggi, itu kita boleh masuk untuk semak kenapa tiba-tiba ditingkatkan harga.
"Kalau ada peningkatan drastik barangan itu maka boleh diambil tindakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan trek larian getah sintetik di Padang Pekan Papar di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi makanan sotong manis yang dikeluarkan kepada pemilik premis restoran yang menjual sotong dengan harga RM50.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar bagaimanapun berkata, masyarakat juga harus mempunyai kesedaran dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna untuk menyemak serta membuat penilaian berkaitan dengan harga yang ditawarkan peniaga.
"Hak-hak kepenggunaan ini juga perlu hadir bersama literasi undang-undang supaya faham mana yang salah, mana yang tidak.
"Sebab kita tahu restoran itu jawab mereka tidak memaksa (pelanggan membeli). Betul, restoran boleh menawarkan harga mereka, yang penting tanda harga aspek perihal dagangan itu dipatuhi.
"Jika harga itu sedemikian rupa, itu yang ditawarkan oleh restoran jadi pengguna mempunyai pilihan untuk memilih restoran kita mahu pergi," katanya.
Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan seorang individu mendakwa pemilik restoran berkenaan tampil memberi penjelasan berhubung sotong manis dijual dengan harga RM50.
Isu berkenaan tular di media sosial dan KPDN Sabah telah memeriksa restoran tersebut sebelum tindakan diambil.
Pemilik restoran turut dikemukakan notis diberikan tempoh dua hari untuk membuat penjelasan sotong manis dijual pada harga RM50. - Sinar Harian