SOSMA punya kuasa yang cukup untuk kerajaan bertindak - Najib

Astro Awani
Mei 11, 2014 11:20 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (Foto: Bernama)
Kerajaan yakin Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang diperkenalkan menyediakan kuasa yang cukup untuk kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang cuba merosakkan keamanan dan keharmonian negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, selain SOSMA, mana-mana pihak yang cuba menyentuh perkara sensitif, menghasut atau melakukan tindakan yang boleh membawa pergaduhan dalam negara, boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Hasutan.
Katanya, kerajaan lebih mementingkan pandangan dan suara kumpulan majoriti masyarakat bukan mengambil pendapat sekumpulan tertentu sahaja.
"Kita memang ambil tindakan berdasarkan undang-undang negara tetapi bukanlah dengan cara tangkap ikut rasa kepada mana-mana individu kita tangkap bawah ISA. Saya percaya kalau buat macam itu, lagi ramai orang marah pada kerajaan," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan Astro AWANI malam tadi.
Najib yang juga Presiden Umno ditemu ramah selama sejam di Pejabat Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68 hari ini.
Najib berkata sebagai pemimpin, beliau bersedia melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik selepas mengambil kira penerimaan masyarakat, namun pada masa sama yakin apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah yang terbaik untuk negara.
Perdana Menteri berkata kesabarannya dalam menangani suara-suara yang menentang bukan bermakna beliau memperlihatkan 'kelemahannya' untuk bertindak.
"Saya tidak anggap itu (kesabaran) kelemahan. Kalau kita tanya apakah mereka mahu satu keadaan di mana ada saja yang mengeluarkan pendapat kita tangkap di bawah ISA?. Apakah itu yang kita hendak?.
"Tentu sekali majoriti rakyat Malaysia tidak mahu keadaan sedemikian. Mereka mahu kita merupakan masyarakat yang ada latitud atau ruang untuk mengeluarkan pendapat walaupun ia kontra atau berbeza," katanya.
"Saya tidak anggap itu (kesabaran) kelemahan. Kalau kita tanya apakah mereka mahu satu keadaan di mana ada saja yang mengeluarkan pendapat kita tangkap di bawah ISA?. Apakah itu yang kita hendak?.
"Tentu sekali majoriti rakyat Malaysia tidak mahu keadaan sedemikian. Mereka mahu kita merupakan masyarakat yang ada latitud atau ruang untuk mengeluarkan pendapat walaupun ia kontra atau berbeza," kata perdana menteri.
Bagaimanapun rakyat diingatkan agar tidak mengambil 'peluang' terhadap 'ruang' yang diberikan oleh kerajaan sehingga membawa kemudaratan kepada negara.
Kerajaan pada 2011 menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis.
Susulan itu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diwartakan pada Jun 2012 bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan setelah pemansuhan ISA antaranya melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah undang-undang lama itu.
Turut diperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan menjamin hak bersuara rakyat mengikut saluran sesuai di samping memastikan ketenteraman awam tidak terjejas bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.
#ISA #Najib Tun Razak #SOSMA
;