SOSMA langkah ke hadapan, perlu dikekalkan - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Disember 28, 2022 18:05 MYT
Prof Mohd Mizan Aslam berkata, peruntukan undang-undang SOSMA yang telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini jauh lebih baik berbanding negara-negara maju lain.
KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) disifatkan sebagai langkah ke hadapan dan perlu dikekalkan.
Pakar Kajian Strategik & Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohd Mizan Aslam berkata, peruntukan undang-undang SOSMA yang telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini jauh lebih baik berbanding negara-negara maju lain.
Katanya, akta berkenaan akan memastikan keadilan terhadap individu yang ditangkap, sekali gus mengekalkan keamanan serta keselamatan negara.
"Ada satu elemen yang menjadi seperti duri dalam daging dalam memperkenalkan SOSMA. Ini sebenarnya pejuang-pejuang kepada penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan memperkenalkan SOSMA, adalah mereka yang hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan.
"Jadi saya melihat bahawa ini adalah satu yang baik, dan apa yang perlu adalah penambahbaikan yang mana dulu kita minta hapus dan kemudian perkenalkan SOSMA sebagai alternatif dan hari ini adalah isunya tentang tangkapan selama 28 hari.
"Dalam masa 28 hari mereka perlu dibawa ke mahkamah dan kita lihat seperti yang dijelaskan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa jauh lebih baik daripada ISA kerana ISA adalah tahanan yang membawa kepada 60 hari untuk penyiasatan dan kemudian terus ditahan di pusat-pusat tahanan," katanya dalam Buletin AWANI pada Rabu.
Musa dilaporkan berkata, kajian untuk menambah baik SOSMA akan disokong sepenuhnya tetapi tidak untuk dimansuhkan supaya keselamatan negara kekal terjamin daripada sebarang ancaman bahaya.
Mengulas lanjut, Mohd Mizan berkata, perkara yang dibimbangi oleh pihak-pihak tertentu ketika ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh polis dan tempoh penahanan selama 28 hari tanpa dibicara.
Begitu pun, jelas beliau, penubuhan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dikuatkuasakan mulai Jun tahun depan dapat memastikan individu yang ditahan mendapat layanan yang sewajarnya.
"Jadi kalau tempoh 28 hari itu dirisaukan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis, IPCC ini akan memperkukuhkan perkara tersebut.
"IPCC sebagaimana dilaksanakan di United Kingdom (UK) dan Hong Kong, yang mana pihak polis boleh menahan mana-mana pihak untuk siasatan, tetapi mereka terikat dengan IPCC.
"Jadi mana-mana (individu) apabila ditahan dan dibawa ke mahkamah, kemudian melaporkan bahawa beliau telah diberikan satu layanan yang tidak adil, dipukul, diseksa atau sebagainya, maka pihak polis akan didakwa dan dibawa kepada IPCC. Ia akan saling melengkapi, dan mengurangkan kegusaran yang timbul daripada isu tahanan 28 hari," kata Mohd Mizan.
Pada 26 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai.
Sementara pada 23 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan dalam SOSMA.
#SOSMA #SOSMA perlu dikekalkan #Musa Hassan #keselamatan Malaysia
;