Sorok pil yaba cecah RM1 juta dalam kotak buah, sayur

Sinar Harian
Februari 14, 2024 16:30 MYT
Muhamad Zaki (kanan) berkata, rampasan ini hasil intipan dan pemerhatian yang dilakukan selama dua minggu. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Polis Kelantan membongkarkan taktik menyorokkan pil yaba yang bernilai RM995,500 di dalam kotak bersama buah-buahan dan sayur-sayuran selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di Batu 4 Jalan Pasir Mas-Salor di sini pada Ahad lalu.
Kesemua suspek berusia 21 hingga 23 tahun itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam semasa serbuan dilakukan di pekarangan bangunan pemborong sayur-sayuran dan buah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan ini hasil intipan dan pemerhatian yang dilakukan selama dua minggu.
"Semasa serbuan dilakukan, kita telah menahan suspek pertama berusia 23 tahun yang mengeluarkan dua kotak dari tempat duduk penumpang sebuah lori jenis Isuzu dan kemudian diletakkan di atas troli.
"Anggota bertugas kemudian menahan dua lagi suspek yang sedang berdiri bersebelahan lori tersebut," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kotak itu membawa kepada penemuan 150,000 biji pil yaba.
Ujarnya, pada masa sama polis turut merampas wang tunai berjumlah RM14,380.
Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut tidak membawa kepada penemuan barang-barang yang menyalahi undang-undang.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif benzo.
"Kesemua suspek direman seminggu bermula 11 Februari untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jumlah dadah ini jika berjaya diedarkan boleh digunakan oleh seramai 150,000 penagih," katanya. - Sinar Harian
#pengedaran dadah #pil yaba #Kelantan #Zaki Harun
;