Sorakan bermakna iringi kejayaan sukuk!
Jamari Mohtar
Mei 7, 2021 07:44 MYT
Mei 7, 2021 07:44 MYT
KUALA LUMPUR: Penerbitan sukuk kelestarian Malaysia baru-baru ini melebihi langganan sebanyak 6.4 kali, dengan peruntukan yang agak sama rata secara global membuat pemimpin kerajaan bersorak gembira.
Walaupun ada pihak kelihatannya kurang senang dengannya, namun ia dapat diterima bukan saja kerana ia mencerminkan keyakinan para pelabur, malahan juga kerja keras pemimpin kerajaan berbaloi dalam memperkenalkan sukuk kelestarian pertama di dunia dalam mata wang dolar Amerika Syarikat yang dikeluarkan oleh sebuah negara yang hasilnya boleh digunakan untuk projek sosial dan hijau yang memenuhi syarat Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu.
Lebih-lebih lagi, kedua bahagian sukuk itu telah diberi penilaian A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.
"Sukuk ini bukan hanya pencapaian global pertama di banyak segi, tetapi juga pengakuan kuat kemampuan inovatif industri kewangan Islam Malaysia menyusun sukuk membantu memajukan dasar Malaysia berfokus pada SDG ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, sambil menambah ia mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkannya "jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan pasaran terhadap pemulihan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan tantangan kuat pandemik COVID-19 sepanjang tahun lalu," lantas membuktikan pengurusan ekonomi Malaysia berada di landasan betul ke arah pertumbuhan kukuh dan mampan.
Menurutnya permintaan Sukuk Kelestarian kerajaan persekutuan itu begitu tinggi sehingga Putrajaya dapat mengumpulkan AS$1.3bil (RM5.34bil) atau 30% melebihi sasaran awal.
Satu lagi faktor membangkitkan kegembiraan – ia dikeluarkan di bawah Kerangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia dengan menggunakan platform tujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Bhd.
Tiada seorang pun di sini bercakap mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dan PM serta Menteri Kewangan tidak memerlukan pakar ekonomi memberitahu mereka perincian perbezaan antara FDI dan instrumen hutang seperti sukuk kerana pengalaman bertahun-tahun dalam perkhidmatan kerajaan (PM) dan industri perbankan (FM) telah menjadikan mereka mahir dalam bidang hutang dan FDI.
Sebilangan besar ahli ekonomi, bukan semua, percaya menanggung hutang itu buruk atau keputusan yang tidak bijak. Tetapi dalam ilmu ekonomi, beban hutang tidak membawa erti sesebuah negara dikendalikan dengan teruk atau tidak stabil, malah beberapa negara maju dibebani hutang yang agak banyak. Namun, terdapat garis halus antara bebanan hutang yang sihat dan tidak sihat di peringkat negara.
Berdasarkan data terkini Tinjauan Ekonomi Dunia (Oktober 2020) Tabung Kewangan Antarabangsa, Jepun mendahului senarai 18 negara dengan nisbah hutang-Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di dunia pada 177.08%.
Perancis di tempat kelima dengan hutang negara kasarnya 110.01% KDNK atau AS$3.2tril; AS berada di tangga ketujuh (106.78% KDNK atau AS$27.29tril); Belgium (AS$630bil, atau 103.81% KDNK) di tempat kelapan, dan UK di tempat kesepuluh (AS$2.97tril iaitu 98.15% KDNK).
Kedudukan 13 dan 14 masing-masing adalah Pakistan dan Mesir. Sementara Pakistan dibebani hutang 79.67% KDNK bernilai AS$224.86bil, Mesir pula mencatatkan hutang 77.96% KDNK atau AS$320.9bil.
Jadi pada dasarnya, kita melihat corak nisbah hutang-KDNK lebih tinggi (lebih 100%) adalah biasa untuk negara maju sedangkan negara dengan nisbah hutang-KDNK yang lebih rendah kemungkinan adalah negara membangun.
Dalam beberapa keadaan, hutang atau pinjaman yang lebih tinggi dapat digunakan untuk membiayai kegiatan ekonomi yang produktif dan melalui kesan penggandaan ekonomi, KDNK negara akan meningkat, yang kemudiannya memungkinkan negara itu mengurangi atau melupuskan beban hutangnya pada masa depan.
Dalam satu kajian Bank Dunia pada 2010, ia mendapati nisbah hutang-KDNK 77% adalah titik tolak genting untuk negara maju, manakala nisbah 64% pula adalah untuk negara membangun. Negara-negara yang berada di atas ambang ini untuk jangka masa panjang telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Nisbah titik tolak genting di atas perlu disemak sementara waktu ekoran pandemik COVID-19 yang membuat kerajaan seluruh dunia memberi rangsangan ekonomi yang besar kosnya membantu rakyat yang amat terjejas dengan pandemik. Jika ini tidak disemak semula, tidak akan ada ruang fiskal yang tersisa untuk dasar fiskal melenturkan kekuatannya dalam memberi rangsangan tersebut.
Dalam kes Malaysia, hutangnya kini berjumlah 58% KDNK, hanya 2% menuju siling hutang 60%. Ia dinaikkan dengan persetujuan parlimen, dari 55% tahun lalu sebagai langkah sementara mengatasi impak pandemik kepada ekonomi negara.
Oleh kerana ruang fiskal semakin sempit, kerajaan terpaksa bergantung pada pinjaman seperti penerbitan sukuk, atau rizab seperti dana Kwan. Semua ini adalah untuk mendapatkan dana yang tersedia pada masa krisis yang digunakan oleh hampir semua negara.
Satu alasan bersorak gembira ada kaitannya dengan penekanan kepada perubahan iklim dan penghijauan ekonomi mencapai pembangunan lestari yang akan diperincikan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dan kerangka dasar nasional Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia (2017-2030).
Tujuan pembangunan lestari mengimbangi keperluan ekonomi, persekitaran dan sosial memungkinkan kesejahteraan generasi sekarang dan akan datang – pendekatan bersepadu jangka panjang membangun dan mencapai komuniti sihat dengan bersama-sama menangani masalah ekonomi, alam sekitar, dan sosial, sambil menghindari penggunaan sumber daya alam berlebihan.
Ini mendorong pemuliharaan dan peningkatkan asas sumber daya, dengan secara beransur-ansur mengubah cara mengembangkan dan menggunakan teknologi. Setiap negara mesti dibenarkan memenuhi keperluan asas pekerjaan, makanan, tenaga, air dan sanitasi.
Pembiayaan perubahan iklim dan penghijauan ekonomi akan memainkan peranan semakin penting dalam pelaburan global tahun-tahun mendatang, dan Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam perjalanan ini.
Penerbitan sukuk kelestarian usaha sulung menuju ke arah perubahan ketara ini yang telah menghasilkan kejayaan luar biasa. Lantaran itulah, sorak gembira yang bersemangat mengiringi kejayaan tersebut.
Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI