SOP yang dilaksanakan sudah cukup untuk buka pintu sempadan - Ahli MPN
Astro Awani
Februari 2, 2022 21:04 MYT
Februari 2, 2022 21:04 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilaksanakan di negara ini sudah cukup untuk membuka pintu sempadan negara.
Menurut Ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN), Datuk Michael Kang pintu sempadan perlu dibuka untuk membolehkan pelabur datang ke Malaysia.
Michael menjelaskan kedatangan pelabur dari luar negara penting untuk membantu industri kecil dan sederhana memulihkan perniagaan.
Jelas beliau, Malaysia perlu mencontohi negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut berdepan cabaran varian Omicron namun tetap membuka pintu sempadan mereka.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita laksanakan sekarang adalah cukup untuk membuka sempadan bagi melonjakkan ekonomi kita.
"Kita perlu lihat apa yang dilakukan oleh UAE, mereka sudah buat Expo Dubai, ramai yang pergi ke UAE, Expo Dubai itu menarik ramai ahli perniagaan termasuk ahli perniagaan kita.
"Ini yang kita mahu kerajaan buat sama iaitu buka sempadan, SOP sudah ada cukup, sudah ada vaksinasi, dengan ada vaksinasi dengan SOP tidak ada masalah buka sempadan untuk membangun ekonomi kita," katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu yang bertajuk Buka Sempadan, Bersediakah Kita?
Michael juga berpendapat, berbanding negara-negara ASEAN yang lain, Malaysia agak ketinggalan dalam aspek membuka pintu sempadan bagi membolehkan urusan perniagaan dijalankan.
"Saya rasa negara kita masih belum cukup agresif dalam membuka pintu sempadan bagi memulihkan ekonomi berbanding beberapa negara ASEAN yang lain.
"Kalau kita lihat di Thailand, kerajaan mereka sudah lama membuka pintu sempadan untuk membolehkan peniaga ke negara tersebut untuk mesyuarat atau menjalankan perniagaan.
"Jika kita lihat Indonesia pula, tempoh kuarantin yang dikenakan lebih pendek berbanding negara kita, cuma lima hari kuarantin," katanya lagi.
Beliau berharap kerajaan memudahkan SOP yang dilaksanakan bagi membolehkan bukan hanya rakyat meneruskan kehidupan tetapi pelabur juga dapat datang ke negara ini.