SOP VTL udara guna kaedah 'test and release' berkuat kuasa esok - Wee Ka Siong

Umavathi Ramayah
Mac 15, 2022 20:24 MYT
Pengembara tidak lagi perlu menunggu keputusan ujian COVID-19 sewaktu ketibaan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara antara Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Kemboja akan diseragamkan dengan pelaksanaan proses 'test and release' (uji dan lepas), bermula esok.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan, dengan ini pengembara tidak lagi perlu menunggu keputusan ujian COVID-19 sewaktu ketibaan.
Sebaliknya, pengembara hanya perlu menjalani ujian calitan COVID-19 semasa ketibaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat penginapan masing-masing yang telah diisytiharkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) MySejahtera dengan menggunakan khidmat pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa.
"Bagaimanapun, pengembara perlu mengasingkan diri sementara menunggu keputusan ujian COVID-19 yang akan diperolehi dalam tempoh 24 jam.
"Setelah keputusan negatif diperoleh, pengembara dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka dan sekiranya keputusan ujian positif, mereka perlu mengikuti protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya dalam perkongsian dalam Facebooknya di sini, pada Selasa.
Ka Siong menambah, penyeragaman itu adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengembara VTL udara yang memasuki Malaysia dan memudahkan aspek penguatkuasaan di lapangan terbang.
Katanya, penyeragaman itu terpakai untuk ketibaan pengembara VTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
#Kementerian Kesihatan #Wee Ka Siong #MySejahtera #Singapura
;