SOP ulang alik harian ke Singapura dimuktamad minggu depan - Khairy

Shuhada Abdul Kadir
Mac 10, 2022 13:33 MYT
Khairy berkata perbincangan SOP ulang alik itu bukan sahaja bersama Singapura, malahan turut melibatkan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Brunei.- Gambar fail/Astro AWANI
SEGAMAT: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) khas perjalanan ulang alik harian ke Singapura bagi rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perkara itu dijangka akan dimuktamadkan minggu hadapan selepas penelitian beberapa aspek dibuat termasuk perbincangan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.
“Untuk mereka yang berulang alik ini, jika kita syaratkan mereka kena buat ujian COVID-19 setiap kali (rentas sempadan), ianya tidak praktikal.
“Jadi kita sedang memuktamadkan formula, mungkin ujian itu dibuat sekali seminggu sahaja, dan mereka kena tunjuk bukti bahawa ujian yang dilakukan itu adalah dalam tempoh seminggu.
“Saya harap pada minggu hadapan, Insya-Allah SOP ini dapat kita muktamadkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas menyantuni penduduk di Kampung Tengah, di sini bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap.
Mengulas lanjut, Khairy berkata perbincangan SOP ulang alik itu bukan sahaja bersama Singapura, malahan turut melibatkan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Brunei.
“(Perkara) ini masih dalam perbincangan saya dan rakan sejawatan saya di Singapura, Thailand dan juga Brunei.
“Sebab Sempadan darat ini melibatkan mereka yang berulang alik setiap hari untuk tujuan kerja yang mana mereka perlu satu SOP khas yang sedikit berbeza daripada pengembara biasa,” tambahnya.
Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pintu sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.
Katanya, kementerian yang berkaitan akan mengeluarkan SOP pembukaan sempadan negara secara terperinci dalam masa terdekat.
#buka sempadan #ulang alik Singapura #Khairy Jamaluddin #VTL
;