SOP: Tuduhan dua darjat terus 'menekan' saya - KJ
Astro Awani
Disember 30, 2021 22:58 MYT
Disember 30, 2021 22:58 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) dan tuduhan wujudnya dua darjat terus menjadi kelemahan yang perlu diatasi kerajaan dalam mendepani ancaman COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Malah, Ahli Parlimen Rembau itu juga mendedahkan tuduhan berkenaan terus menjadi tekanan kepadanya selaku menteri yang bertangungjawab menguruskan pandemik di negara ini.
“Sebab itu (semasa) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya nak tunjuk teladan yang baik. Sesiapa pun yang menyalahi SOP akan dikenakan kompaun termasuk pemimpin UMNO sendiri.
"PKR dan Bersatu pun kena. Semua salahkan saya, tetapi saya katakan dalam hal ini tidak ada dwi-standard atau pilih kasih, sesiapapun yang menyalahi (SOP) akan kena.
"Presiden kita (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pun kena juga, saya terpaksa keluarkan kompaun,” jelas Khairy menerusi satu video penstriman di laman Facebook Online.
Pada pilihan raya tersebut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), adalah antara pemimpin terkemuka yang dikompaun RM10,000 berikutan pelanggaran SOP pencegahan COVID-19.
Khairy juga menolak dakwaan bahawa beliau cuba melemahkan UMNO ketika berdepan PRN Melaka baru-baru ini dengan melaksanakan SOP pilihan raya yang ketat.
“Saya tidak fikir langsung untuk nak melemahkan UMNO (kerana) saya hanya fikirkan mengenai kesihatan awam dan keselamatan calon, pengundi dan jentera supaya mereka tidak dijangkiti,” tegas Khairy.
Beliau juga mengakui isu yang sebenarnya ialah mengenai kemampuan parti politik beradaptasi dengan norma baharu ketika berkempen.
“Dan akhirya kaedah kempen yang baharu ini diguna pakai secara baik oleh semua pihak,” katanya lagi.