SOP Thaipusam: Upacara kavadi tidak dibenarkan

Astro Awani
Januari 12, 2022 19:31 MYT
Had kehadiran bagi upacara paal koodam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Selangor tidak boleh melebihi 100 orang pada satu-satu masa - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hanya penerima vaksin lengkap dan berumur 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada 18 Januari ini, dengan upacara membawa kavadi tidak dibenarkan.
Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat turut menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam dilaksanakan bermula pada 16 hingga 19 Januari.
Sementara itu, bagi upacara paal koodam atau membawa belanga berisi susu pula ditetapkan lebih awal iaitu 14 hingga 19 Januari.
“Membawa paal koodam (belanga berisi susu) dibenarkan dengan pematuhan SOP Perayaan Thaipusam.
“Pihak Pengurusan Kuil hendaklah menyediakan laluan khas kepada pembawa paal koodam dan pastikan tanda penjarakan satu meter dapat dilihat dan dipatuhi sewaktu beratur membawa paal koodam ke kuil.
“Pembawa paal koodam diwajibkan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan kuil terlebih dahulu dan diwajibkan memakai tag yang disediakan oleh pihak pengurusan kuil,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas kementerian itu lagi, had kehadiran bagi upacara paal koodam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Selangor tidak boleh melebihi 100 orang pada satu-satu masa.
Sementara itu, empat kuil melibatkan Perak dan Pulau Pinang, kehadiran tidak boleh melebihi 50 orang, manakala kuil-kuil lain tidak melebihi 30 orang.
Dalam perkembangan sama, kementerian tersebut menjelaskan upacara sembahyang di kuil-kuil yang ditetapkan pula antara 500 hingga 6,000 setiap hari.
Aktiviti mencukur rambut dibenarkan dengan pematuhan SOP Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Turut dibenarkan ialah upacara mandi ritual di tempat yang disediakan oleh pihak pengurusan kuil.
Manakala, perjalanan dan pergerakan kereta berhala pula perlu mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#Thaipusam #SOP #Batu Caves #aktiviti keagamaan
;