SOP taska 24 jam sedang dirangka - Rohani
Astro Awani
Mei 2, 2014 19:59 MYT
Mei 2, 2014 19:59 MYT
Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) yang beroperasi selama 24 jam sedang dirangka dan ditimbangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Prosedur standard operasi (SOP) juga turut diteliti tentang kesesuaian penubuhan taska 24 jam tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Taska 24 jam tersebut amat diperlukan bagi golongan ibu bapa yang berkerja di sektor kesihatan dan perubatan terutama mereka yang bertugas sebagai jururawat dan doktor.
Selain itu, ibu bapa yang bekerja dalam sektor kilang juga amat memerlukan taska tersebut memandangkan mereka bekerja mengikut syif.
Menurut Rohani, setakat ini sebuah hospital telah melaksanakan percubaan Taska 24 jam tersebut.
Rohani turut menyatakan bahawa taska tersebut akan dipastikan berdaftar dengan kementerian mereka dalam memastikan segala keselamatan kanak-kanak tersebut terjamin dan ibu bapa akan merasa selamat meninggalkan anak mereka sepanjang masa mereka bekerja.
Rohani berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke majlis perasmian Persidangan Sorotimist International South West Pasific 2014 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pagi Jumaat.
Turut hadir adalah Presiden SSWP Puan Sri Siew Yong Ganalingam. Persidangan selama tiga hari yang bermula hari ini hingga ahad telah dihadiri oleh 360 delegasi delegasi wanita dari beberapa buah negara yang berkaitan.