SOP tangani COVID-19 untuk kebaikan semua - Mufti Kelantan
Bernama
Mei 25, 2021 04:23 MYT
Mei 25, 2021 04:23 MYT
KOTA BHARU: Masyarakat perlu sedar apa yang dilakukan kerajaan ketika ini terutamanya dalam menangani pandemik COVID-19 adalah untuk kebaikan semua, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Justeru beliau berharap masyarakat tidak termakan dengan dakyah-dakyah pihak tertentu termasuk berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Beliau turut memberikan contoh akibat termakan dengan dakyah, ada penduduk yang sanggup melanggar SOP seperti melakukan solat berjemaah dalam jumlah yang ramai secara sembunyi sehingga menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 seperti kejadian di Bachok, baru-baru ini.
"Sebelum ini ada pihak yang mempersoalkan kenapa solat dihadkan di surau dan masjid sedangkan masjid adalah 'rumah Allah'.
"Ramai yang mahu rapatkan saf, tetapi kita sepatutnya tahu waktu darurat kena hadkan jarak, ternyata mereka tidak nampak perbezaan di waktu aman dan darurat," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Beliau berkata dalam keadaan darurat sekarang masyarakat perlu patuh dengan arahan yang dikeluarkan demi kesejahteraan bersama.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Mohamad Shukri Mohamad
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#prosedur operasi standard
#SOP
#Mufti Kelantan
#vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#dakyah
#darurat
#patuh