SOP rentas daerah, negeri perlu diteliti dan diperketatkan - Muhyiddin

Nursyazwani Saiful Sham
November 4, 2020 21:48 MYT
Muhyiddin turut memaklumkan MKN akan membentangkan dapatan hasil daripada perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal COVID-19 berhubungan perkara tersebut dalam Sidang Khas esok, 5 November.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menilai semula dan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan rentas daerah dan negeri.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya pada Rabu, Muhyiddin turut memaklumkan MKN akan membentangkan dapatan hasil daripada perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal COVID-19 berhubungan perkara tersebut dalam Sidang Khas esok, 5 November.
"Seterusnya sidang MKN diberikan penerangan berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 di dalam negara. Situasi masih lagi membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan begini.
"Saya telah mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan atau tidak," katanya.
Selain itu, Muhyiddin turut memberitahu pihaknya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menaik taraf fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di seluruh negeri itu.
"Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.
"Alhamdulillah, kerajaan negeri Sarawak telah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Sarawak pada Sidang Khas MKN esok," ujarnya.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Dalam pada itu, Sidang Khas yang diadakan hari ini turut membincangkan mengenai SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.
"PRK ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 masih memuncak di negeri Sabah pada masa ini.
"Sehubungan itu, SPR dan Jabatan Peguam Negara diminta untuk mengkaji beberapa aspek perundangan yang membolehkan PRK Batu Sapi ditangguhkan sehingga COVID-19 berakhir," katanya.
Justeru itu, beliau memaklumkan semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan untuk mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara akan diberikan pertimbangan sewajarnya.
Ini bagi melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19 dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #SOP #Perdana Menteri #Majlis Keselamatan Negara #Tan Sri Muhyiddin Yassin #COVID-19 #kes positif #pandemik #ujian saringan #keselamatan #pilihan raya
;