SOP REE yang akan dikeluarkan dapat atasi masalah kecurian - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Ogos 30, 2023 19:45 MYT
Ogos 30, 2023 19:45 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) melibatkan unsur nadir bumi (REE) yang akan dikeluarkan kerajaan dapat mengatasi kecurian hasil mineral itu di seluruh negara.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak terlibat terutama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) atas usaha berkenaan selepas pihak kerajaan negeri sebelum ini telah menunggu sejak sekian lama.
"Kita follow SOP itu dan ikut sahaja, alhamdulillah kalau ada SOP, saya ucap terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim kerana tindak balas yang pantas, saya harap Kedah akan ada hasil-hasil baharu daripada REE berdasarkan SOP itu.
"(Apabila) sudah ada SOP, kerajaan negeri sudah boleh buat kelulusan berdasarkan SOP itu, jadi kecurian dapat diatasi, (ini adalah) berita baik, terima kasih, Menterinya, Nik Nazmi dan NRECC," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan SOP berkaitan REE akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai baru-baru ini.
Katanya, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Exco negeri yang bertanggungjawab berkaitan mineral dan galian.