SOP PRN Melaka: Cadang kempen dalam talian dan media elektronik
Bernama
Oktober 25, 2021 17:01 MYT
Oktober 25, 2021 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ronald Kiandee.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata keputusan tersebut (SOP semasa PRN) akan menganggu perjalanan kempen parti, namun pihaknya akan membuat penyesuaian.
"Kita perlu akur kepada SOP yang telah ditetapkan. Sejak dua tahun yang lalu kita selalu patuh dan mengikuti apa juga SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
"Tiada beza ketika berhadapan pilihan raya, semua pihak harus patuh pada SOP yang dikeluarkan," katanya selepas Majlis Perlancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini hari ini.
Semalam, KKM mengeluarkan larangan bagi penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya di Melaka dari 25 Okt hingga 27 Nov, kerana mengambil kira situasi penularan kes Covid-19 ketika ini.
PRN-SOP 2 KUALA LUMPUR
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata pengumuman dari KKM itu sesuatu yang wajar, dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri itu semasa PRN akan datang dan perlu dilaksanakan agar situasi di Sabah tidak berulang, meskipun rakyat kini sudah divaksin.
"Saya bersetuju, kerana kita perlu lihat bahawa sekarang ini keadaan memang luar biasa kerana pandemik COVID-19, maka kerja yang kita laksanakan juga perlu luar biasa. Jadi, kita mungkin boleh melaksanakan kempen dalam talian tidak perlu bersemuka.
"Betul ketika PRN Sabah dahulu tiada vaksin, tapi bagi saya vaksin itu untuk lindungi diri kita sendiri namun ia tidak menjadi penghalang untuk kita jadi penyebar. Jadi kita akan laksanakan cara kempen baru secara dalam talian, dan berdasarkan pengalaman saya lihat kempen secara dalam talian ini lebih efektif berbanding bersemuka," katanya selepas melancarkan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata SOP yang ditetapkan oleh KKM akan menjadi sukar untuk dipatuhi, sekiranya kempen pilihan raya dilaksanakan secara bersemuka.
Noh mencadangkan kaedah kempen secara dalam talian itu boleh dilaksanakan secara berperingkat di bawah seorang wakil rakyat yang berhubung dengan 30 individu dan jentera di bawahnya, yang kemudian disalurkan kepada peringkat seterusnya menerusi aplikasi media sosial.
PRN-SOP 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mengesa kerajaan untuk membenarkan masa siaran sewaktu siaran utama dan luar masa siaran utama, untuk semua calon di semua stesen televisyen dan radio, selain mengiklankan kempen dan manifesto pilihan raya secara percuma.
Beliau juga mencadangkan untuk kerajaan membenarkan calon menggunakan van bergerak untuk mengumumkan manifesto dan mesej kempen mereka kepada pengundi, di sepanjang tempoh berkempen.
"Pengundi tidak layak mengundi jika mereka tidak mengetahui siapa calon mereka. Hanya calon yang tahu pemasaran digital sahaja yang mungkin akan dapat sampai kepada pengundi mereka, yang mana ia suatu yang tidak adil pada ketika yang tidak pernah berlaku ini," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ahli PKR itu juga mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan pengundi untuk mengubah status undian mereka kepada pengundi pos atau menghantarkan undi mereka di pejabat pos yang terdekat atau secara dalam talian.
-- BERNAMA