SOP perlu lebih fleksibel untuk tarik lebih ramai pelancong - Majlis Pelancongan Malaysia

Israr Khalid
Mac 30, 2022 14:39 MYT
SOP yang tidak rasional hanya akan menjadi penghalang untuk Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
KUALA LUMPUR: SOP yang lebih fleksibel mengikut dinamika perkembangan semasa wabak COVID-19 perlu diterapkan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong luar datang ke Malaysia.
Tegas Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis, ia akan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan itu yang menjadi keutamaan pelancong dalam membuat pilihan destinasi percutian masing-masing.
Beliau mengambil contoh negara-negara Eropah yang menerapkan amalan terbaik seperti di Maldives dan Dubai di mana mereka mengadakan SOP yang sangat fleksibel, mereka telah menerima kedatangan pelancong yang ramai.
“Kita tengok Turki, ramai orang kita suka pergi Turki, antara negara yang paling ramai menerima pelancong pada kurang lebih 14 juta orang pada tahun lepas.
“Jadi kita tengok bagaimana kita boleh menerapkan dan mematuhi SOP-SOP terkini ini.”
Dalam hal itu, kita beruntung kerana menjadi antara yang paling tinggi kadar vaksinasi di rantau ini sekurang-kurangnya, maka satu tahap keselamatan itu sudah dapat meyakinkan pelancong.
Maka dengan itu katanya, kerajaan perlu lebih peka dan rasional dalam membuat ketetapan terhadap SOP yang perlu dilalui dan dipatuhi oleh para pelancong supaya dapat mewujudkan suasana yang menyenangkan dan tidak dikongkong oleh peraturan ketat yang tak munasabah.
“Pelancong sangat pintar dan pandai sekarang ini, mereka memilih tempat-tempat yang senang untuk melawat dan beraktiviti.
“Janganlah kita ketatkan SOP itu kerana ianya akan menyusahkan, tapi kita kena ingat untuk tetap pelihara SOP supaya rakyat kita dilindungi.”
Tonton temu bual penuh bersama Uzaidi dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
SOP perlu lebih fleksibel untuk beri lebih keselesaan kepada pelancong - Majlis Pelancongan Malaysia
Agenda AWANI: Endemik | Cabaran Baharu Industri Pelancongan
#Agenda Awani #COVID-19 #SOP #pelancong #Malaysia #pelancongan
;