SOP pengendalian, pengurusan senjata api akan ditambah baik - Timbalan Menteri
Umavathi Ramayah
Oktober 6, 2021 11:12 MYT
Oktober 6, 2021 11:12 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan dan menguruskan senjata api melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ditambah baik dan dikemaskini, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Beliau memberitahu, perkara itu akan dilakukan sebaik sahaja Lembaga Siasatan TUDM melengkapkan siasatan.
Menurutnya, meskipun insiden tembakan di pondok pengawal Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan pada Ogos lalu merupakan kes terpencil di mana, dalam situasi latihan atau urusan melibatkan senjata api, namun ia tidak boleh diambil sewenang-wenangnya.
"Apa yang berlaku adalah dikesali dan tidak dijangka. Kami akan melihat semula perkara ini setelah Lembaga Siasatan TUDM selesai menjalankan siasatan.
"Antara elemen penting atau fokus utama lembaga ini adalah menambahbaik atau mengemaskini SOP bagi pengendalian dan pengurusan senjata dalam TUDM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rubuah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan insiden yang mengorbankan empat anggota TUDM itu tidak berulang lagi.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham menjelaskan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad akan memaklumkan hasil siasatan sebaik selesai.
Menjawab soalan asal, beliau memberitahu, insiden tembakan itu masih lagi dalam siasatan polis.
Katanya, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti jika wujud elemen jenayah dan punca sebenar insiden itu.
"Siasatan oleh pihak TUDM juga turut dibuat berkaitan aspek pentadbiran, SOP, isu kebajikan dan sebagainya," katanya.
Dalam kejadian tembakan kira-kira pukul 7.50 pagi pada 13 Ogos lalu itu berlaku ketika masa serah tugas apabila salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.