SOP MKN tidak mesra OKU, kata Timbalan Presiden MBOKU
Astro Awani
Oktober 9, 2021 16:59 MYT
Oktober 9, 2021 16:59 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 perlu diterangkan secara lisan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), bukan secara bertulis seperti sekarang kerana ia disifatkan tidak mesra OKU.
Timbalan Presiden Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU), Khairul Anwar Korai berkata, golongan OKU antara yang teruk terjejas semasa pandemik kerana biasanya mereka ‘first out, last in’, iaitu paling awal dibuang kerja dan paling akhir diterima semula.
Menurutnya, penerangan sebegitu adalah penting bagi mempertingkatkan persediaan mereka untuk kembali ke industri dalam fasa endemik tidak lama lagi.
“Merujuk kepada OKU masalah penglihatan, kesiapsiagaan mereka terutamanya dari aspek pematuhan SOP, mereka perlu diberi penerangan, secara lisan, bukan secara bertulis.
“Agak mencabar bagi mereka kerana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada, semuanya secara bertulis dan tidak mesra OKU langsung. Satu pendekatan baharu perlu diwujudkan bagi menjelaskan kepada mereka bagaimana SOP patut dilaksanakan.
“Ia dengan mengambil kira ketidakupayaan mereka tanpa melanggar apa-apa syarat atau sekatan bagi menjamin epidemik ini tidak begitu kritikal bagi mereka,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Tambah beliau, tumpuan setakat ini banyak diberikan kepada OKU fizikal namun menurutnya, OKU masalah mental juga perlu diberikan perhatian terutamanya dalam menyediakan mereka memasuki industri kelak.
“Jumlah OKU fizikal tertinggi dalam bilangan OKU tapi kita juga perlu ambil kira OKU mental yang perlukan masa dua tahun untuk diagnos. Bagaimana proses ‘return to work’ (kembali bekerja) untuk mereka?
“Dari segi persekitaran, kesiapsiagaan mungkin untuk OKU fizikal nampak jelas, kita perlukan ‘ramp’, lif, tandas tapi untuk OKU mental, mereka perlukan cuti yang lebih daripada biasa untuk sokongan terutamanya untuk dapatkan bantuan psikososial,” ujarnya.
Return To Work (RTW) adalah program pengurusan hilang upaya disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mula diperkenalkan pada tahun 2007.
RTW bertujuan membantu memulihkan pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat dengan melalui beberapa proses pemulihan fizikal atau latihan.