SOP lebih ketat bagi majlis sosial di Sabah
Eleanor Michelle Patrick
Februari 11, 2022 04:31 MYT
Februari 11, 2022 04:31 MYT
KOTA KINABALU: Melihat kepada situasi semasa COVID-19 di Sabah, kerajaan negeri memutuskan untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi majlis sosial, berkuat kuasa Jumaat.
Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kemas kini SOP terbaharu mengehadkan kapasiti maksimum 150 orang atau 50 peratus ruang, bagi majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, tempoh pelaksanaan majlis juga dihadkan kepada maksimum selama tiga jam sahaja.
"Bagi majlis akikah, doa selamat, tahlil, ulang tahun, perayaan, hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial kapasiti adalah maksimum 50 orang atau 50 peratus ruang.
"Majlis tersebut hendaklah dijalankan dalam tempoh maksimum dua jam sahaja," katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Bahagian (Tawau dan Sandakan) dan Masjid Daerah dihadkan kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup.
"Bagi masjid dan surau lain untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat adalah dihadkan maksimum 100 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau.
"Jemaah juga diminta mematuhi penjarakan fizikal satu meter dan wajib memakai pelitup muka. Setiap jemaah dikehendaki membawa sejadah masing-masing," katanya.
Mengulas mengenai SOP sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bermula 31 Januari hingga 15 Februari, katanya, rumah terbuka masih tidak dibenarkan, sementara aktiviti kunjung mengunjung adalah dibenarkan, dan resepsi dibenarkan dengan jemputan sahaja.
"Ketua rumah hendaklah merekodkan kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera dan kehadiran jemputan adalah 50 peratus kapasiti ruang dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya.
Sementara itu, Sabah merekodkan angka jangkitan tertinggi pada Jumaat, dengan 3,361 kes, peningkatan sebanyak 392 kes berbanding Khamis.
Terdapat dua kluster baharu yang dikesan, iaitu Kluster Loboh Nabawan, Nabawan dan Kluster Pengkalan Abai, Kota Belud membawa kumulatif kluster yang aktif kepada 36 kluster.