SOP ketat upacara sembahyang di tokong Kampung Penakub Bazaar, Mukah, esok
Astro Awani
Februari 11, 2021 15:32 MYT
Februari 11, 2021 15:32 MYT
MUKAH: Garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi upacara sembahyang di Tokong Tua Pek Kong Hock San Teng, Kampung Penakub Bazaar di Mukah ditingkatkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada Jumaat.
Pengerusinya, Kapitan Kueh Bing Chuan berkata, langkah ini diambil bagi memastikan penularan COVID-19 di Mukah dapat dikekang sebaiknya.
Pada masa sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terlibat juga akan memastikan tiada aktiviti kunjung-mengunjung diadakan.
“Untuk upacara sembahyang yang dijadualkan sekitar jam 11 sehingga 12 tengah hari, kami pihak AJK (Ahli Jawatnkuasa) dan JKKK tokong ini akan memastikan SOP digariskan dapat dipatuhi sepenuhnya.
“Antaranya kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir dan sekiranya mahu menyertai upacara sembahyang, hanya wakil daripada setiap rumah dibenarkan bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan Mukah kekal dikategorikan sebagai zon hijau, Bing Chuan turut menggesa penduduk di luar Mukah supaya tidak pulang ke kampung halaman terutama bagi mereka yang berada di kawasan zon merah.
Sementara itu, bagi seorang penduduk Kampung Penakub Bazaar, Kueh Ching Ping, mengakui sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini lebih jimat kerana ia diraikan dalam skala kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Jika dibandingkan dengan tahun lepas, sambutan tahun ini lebih jimat kerana tiada tetamu dibenarkan hadir untuk sesi ziarah-menziarahi jadi tiada keperluan menyediakan makanan yang banyak.
“Dari segi pakaian pula, tahun ini hanya satu atau dua helai baju baharu yang dibeli berbanding tahun-tahun sebelumnya dan kami tidak perlu berbelanja besar,” kata Ching Ping.
Mukah merupakan antara 11 daerah di negeri Sarawak yang dikategorikan sebagai zon hijau termasuk Simunjan, Telang Usan dan Marudi.
#COVID-19 di Sarawak
#SOP Tahun Baru Cina
#SOP di Mukah
#COVID-19 di Mukah
#Kampung Penakub Bazaar
#Mukah zon hijau
#perayaan Tahun Baharu Cina