SOP ketat program pelancongan pastikan industri terus bergerak - Nancy
Bernama
Februari 24, 2022 16:22 MYT
Februari 24, 2022 16:22 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat antaranya melakukan ujian saringan COVID-19 bagi program pelancongan adalah untuk memastikan industri itu tidak terjejas disebabkan peningkatan kes harian COVID-19 ketika ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu juga antara usaha kementerian untuk mengimbangi keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara.
"Macam acara Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Sarawak, kita cuba kenalkan SOP yang ketat dengan memastikan semua orang (pengunjung) lengkap dua dos (vaksin COVID), kanak-kanak 12 tahun tidak dibawa, ada tujuh khemah untuk penonton hadir mengikut SOP dan sebelum itu ada ujian swab lagi... seketariat juga perlu jalani ujian swab.
"Kita perlu cari cara terbaik untuk mulakan sektor industri pelancongan bergerak seperti biasa, perlu bertanggjungjawab uruskan SOP dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sementara itu, Nancy berkata kementerian menyasarkan sebanyak RM10 juta hasil jualan HKK 2022 dengan penglibatan hampir 300 usahawan dan komuniti kraf seluruh Malaysia yang dijangka menerima 30,000 pengunjung.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata sejak penganjuran HKK pada 2003, nilai jualan sebanyak RM245.4 juta berjaya dijana melalui penyertaan 7,831 usahawan dan dikunjungi lebih 1.1 juta pengunjung.
"Bagi 2021, keseluruhan jualan kraf berjaya mencapai RM197.7 juta. Saya berharap pencapaian ini akan meningkat lebih besar nilainya pada tahun 2022," katanya.
Beliau berkata jumlah usahawan yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia pada tahun lepas juga bertambah 4.2 peratus daripada 6,042 orang kepada 6,296 orang dan bilangan komuniti kraf turut meningkat dari 22,710 orang kepada 25,592 orang iaitu kenaikan sebanyak 12.7 peratus.
"Peningkatan ini adalah hasil pelbagai usaha dan program pembangunan dan pengembangan yang dilaksanakan Kraftangan Malaysia," katanya.
HKK 2022 menghimpunkan usahawan dan komuniti kraf daripada kraf tekstil dan kraf hasil rimba serta pameran Koleksi Pakaian Raja Permaisuri Agong, Pameran Tokoh Kraf Negara 2022.
Pengunjung HKK 2022 dan Festival Kraf Kebangsaan 2022 juga boleh menikmati baucar tunai RM30 bagi setiap pembelian dalam gandaan RM100.
-- BERNAMA