SOP 'dua darjat' sukarkan usaha profesional kesihatan - MHC
Hakim Rahman
Februari 9, 2021 16:44 MYT
Februari 9, 2021 16:44 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menggesa agar Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada Menteri untuk menjalani tempoh pemerhatian selama tiga hari segera dibatalkan.
MHC berpendapat tiada penjelasan munasabah, bukti sains atau fakta yang menyokong pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam mengubah prosedur operasi standard (SOP) kuarantin COVID-19.
“SOP yang tidak berpandukan sains dan bukti akan menghakis keyakinan terhadap SOP. Penguatkuasaan SOP dua darjat akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik semakin merosot.
“Profesional kesihatan tidak mampu melawan COVID-19 tanpa kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan MHC hari ini.
Pada Isnin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan tempoh kuarantin bagi Menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikurangkan daripada 10 hari kepada tiga hari berkuat kuasa 9 Februari 2021.
Pengumuman itu turut mencetuskan debat dan kemarahan orang ramai di media sosial.
“Perintah Pengecualian ini memaktubkan SOP yang tidak adil dan akan melemahkan usaha untuk mengawal pandemik COVID-19,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru MHC menggesa agar Perintah Pengecualian terbabit dibatalkan segera.