SOP Deepavali diumum selewat-lewatnya Jumaat ini - Ismail Sabri
Fauzi Suhaimi
Oktober 27, 2020 16:50 MYT
Oktober 27, 2020 16:50 MYT
PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan sambutan perayaan Deepavali akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana, perkara itu akan dibincangkan dalam minggu ini sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Kita ada masa lagi dua minggu sebelum sambutan perayaan Deepavali dan dalam minggu ini kita akan bentangkan.
"Sebelum akhir minggu ini kita akan buat keputusan dan umumkannya," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, suami atau isteri 'hujung minggu' dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah mahupun negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu perlu mendapat kelulusan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"SOP PKPB yang diperkenalkan sama seperti yang kita laksanakan pada Mei lalu dan untuk 'weekend husband' berjumpa dengan isteri atau keluarga memang dibenarkan dalam SOP PKPB.
"Tetapi sebelum balik, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis dengan mengemukakan bukti dan sebagainya," katanya.
#ismail sabri yaakob
#PDRM
#Deepavali
#SOP
#Polis Diraja Malaysia
#perintah kawalan pergerakan
#PKPB
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#rentas daerah
#rentas negeri