SOP COVID-19: Kelas hibrid belum memadai, penuntut IPT masih perlu kelas fizikal

Bernama
Januari 11, 2022 15:39 MYT
Ada pelajar berpendapat disebabkan kaedah pembelajaran berkenaan, sesetengah projek pengajian mengambil lebih masa untuk disiapkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kebenaran yang diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada enam kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang ke kampus bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian bermula 1 Mac lepas belum dapat melegakan ramai penuntut institusi itu.
Ada pelajar berpendapat disebabkan kaedah pembelajaran berkenaan, sesetengah projek pengajian mengambil lebih masa untuk disiapkan berbanding sesi pembelajaran biasa selain turut memberi kesan kepada tahap penguasaan mereka terhadap mata pelajaran.
Nur Anisa Abd Halim, 23, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Bahan Universiti Malaya berkata walaupun dibenarkan pulang ke kampus dan PdP kini berjalan secara hibrid, dia yang menyewa di luar kampus mendapati tidak banyak perbezaan antara PdP secara hibrid dan kelas secara dalam talian sebelum ini.
"Saya sekarang sedang menjalankan projek tahun akhir yang memerlukan saya berada di makmal. Pada masa sama, saya juga perlu hadir kelas dalam talian di rumah sewa untuk peperiksaan akhir semester ini.
"Tempoh yang diberikan untuk ke makmal iaitu seminggu dua hari sahaja sangat terhad. Saya berharap kelas pengajian secara fizikal akan kembali sepenuhnya," katanya yang dihubungi Bernama.
Nur Anisa berkata keadaan yang disebabkan oleh arahan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 itu menyebabkan projeknya mengambil masa sehingga satu semester untuk disiapkan sedangkan ia boleh selesai dalam tempoh dua minggu sekiranya kelas fizikal berjalan seperti biasa.
Sebelum ini, KPT mengumumkan enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus bermula 1 Mac 2021 merangkumi antaranya pelajar program sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, bengkel dan peralatan khas.
Turut dibenarkan kembali ke kampus ialah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk PdP serta pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, kecuali dari United Kingdom.
Berkongsi pandangan serupa, Siti Fatimah Huzaidi, 24, pelajar pasca siswazah di sebuah institusi pendidikan awam berkata pengajian mod penyelidikan yang dilakukannya ketika ini memerlukan lebih banyak rundingan dengan penyelianya namun kebanyakannya dibuat secara dalam talian disebabkan batasan SOP.
Walaupun tinggal di asrama universiti ketika ini, dia masih menghadapi masalah jaringan Internet di biliknya manakala rundingan dengan penyelia secara dalam talian dari pusat pengajian dan perpustakaan pula ada kekangan kerana kedua-duanya beroperasi tidak menentu disebabkan kakitangannya kadangkala perlu bekerja dari rumah.
"Saya lebih suka rundingan secara bersemuka. Sebab penjelasan penyelia lebih jelas. Apa yang perlu dibetulkan lebih mudah dan komunikasi lancar. Kalau rundingan dalam talian macam-macam isu teknikal boleh berlaku dan menyukarkan proses penyeliaan tersebut," katanya.
Bagi seorang penjawat awam, Suziyana Sukri, 46, yang anaknya bergelut dengan pembelajaran secara maya dan gagal beberapa subjek telah memberi implikasi kewangan kepada beliau dan pasangannya sebagai ibu bapa.
"Anak saya belajar bidang Multimedia Kreatif di universiti swasta dan untuk setiap satu subjek yang diulang, bayaran dikenakan hampir RM1,500. Untuk dua subjek sudah RM3,000.
"Pada mulanya saya sertai kaunseling bersama universiti itu dan masuk mesyuarat lembaga universiti untuk tahu kelemahannya tetapi anak masih belum mampu mengejar ketinggalan. Ketika itu kelas berjalan sepenuhnya secara dalam talian, akhirnya saya buat keputusan keluarkan anak dari situ dan daftar di institusi pengajian lain," katanya dengan menambah tidak semua bidang pengajian sesuai dilakukan secara dalam talian.
Suziyana berkata walaupun PdP masih berjalan secara dalam talian, anaknya yang kini mengikuti bidang Penulisan Kreatif dilihat semakin baik memandangkan bidang tersebut tidak terlalu teknikal berbanding bidangnya sebelum ini dan lebih sesuai untuk kelas secara maya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik Jabatan Pengajian Tinggi Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad ketika dihubungi berkata sebarang keputusan untuk membenarkan PdP berlangsung secara fizikal sepenuhnya adalah bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"JPT mengikuti keadaan dari semasa ke semasa. Kalau keadaan mengizinkan, kami akan memohon persetujuan kepada MKN," katanya.
Menurut Wan Zuhainis, JPT, IPT dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut berbincang agar pelajar IPT dan warga kerja IPT diberi dos penggalak untuk perlindungan meskipun belum terdapat sebarang keputusan berhubung pembelajaran secara bersemuka sepenuhnya.
-- BERNAMA
#pelajar IPT #universiti #kelas hibrid #COVID-19
;