SOP COVID-19: Contohi Dubai dalam usaha tarik pelabur, pelancong - Syed Ali
Astro Awani
Januari 9, 2022 13:00 MYT
Januari 9, 2022 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencontohi Dubai dalam usaha menarik pelancong bertaraf dunia dan pelabur dalam usaha memulihkan sektor ekonomi negara selepas pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee menegaskan, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan kerana COVID-19 yang keterlaluan sejak di lapangan terbang negara akan menyebabkan pelabur dan para pelancong tidak menjadikan Malaysia sebagai destinasi pertama pilihan mereka.
"Hari ini, Dubai telah kembali pulih sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan kehadiran ribuan pelancong luar negara setiap hari. Banyak kemudahan dan kelonggaran yang saya lihat dilakukan oleh pemerintah Dubai untuk memulihkan ekonomi mereka dengan tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan.
"Oleh sebab itu juga, Dubai menjadi tumpuan para pelabur dunia dan ahli perniagaan. Paling ketara yang saya alami ialah apabila tiba di lapangan terbang Dubai, pengembara dan pelancong yang datang dari seluruh dunia hanya perlu melakuan ujian PCR sahaja, tidak dikuarantin mengikut tempoh tertentu.
"Maknanya, jika positif, hanya perlu menjalani rawatan di hospital dan tiada sebarang kuarantin jika tidak ada masalah. Bagi saya langkah seperti itu amat praktikal, mudah dan tidak menyusahkan. Inilah sebabnya Dubai menjadi tarikan kepada pelancong seluruh dunia," katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyuarakan pandangan itu menerusi catatan terbaharu di laman Facebook miliknya hari ini.
BACA: Malaysia, Singapura nilai semula risiko sebelum teruskan VTL udara, darat dengan 50 peratus kuota
Dalam pada itu, jelasnya, pintu masuk khususnya lapangan terbang di Dubai tidak menyusahkan dan memeningkan kepala dengan pelbagai peraturan serta pemeriksaan kesihatan.
"Satu lagi, kita tidak perlu imbas sebarang aplikasi jika memasuki pusat perniagaan kerana sudah melakukan "swab test" di lapangan terbang. Langkah ini menarik ribuan pengunjung, sungguh menakjubkan.
"Manakala di premis makanan atau restoran pula, ramai pengunjung yang datang kerana tiada peraturan yang terlalu menyusahkan dan sekadar perlu memakai pelitup muka," ujarnya.
Angka kes jangkitan harian COVID-19 di Dubai kini dalam lingkungan 2,000 sehingga 4,000 kes.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, sebanyak 17 daripada 122 kes Omicron, atau 14 peratus datang daripada individu yang tidak divaksin yang pulang dari luar negara.
Khairy turut mengumumkan Malaysia mencatatkan 123 kes baharu COVID-19 Omicron setakat Khamis, menjadikan jumlah kumulatif kes varian berkenaan di negara ini kepada 245.