SOP beli-belah dua jam, operasi KPDNHEP bermula esok
Ridauddin Daud
Mei 25, 2021 17:19 MYT
Mei 25, 2021 17:19 MYT
PUTRAJAYA: Pelanggan yang melanggar had maksimum dua jam berada di dalam pusat beli-belah boleh dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (PKP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kompaun akan dikenakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara akan menjalankan operasi khusus bermula Rabu bagi memastikan SOP terbaharu itu dipatuhi sebaiknya.
"Kita akan terus kenakan tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi tempoh dua jam, fokusnya di pusat membeli-belah yang besar, yang di dalamnya ada pelbagai jenis perniagaan.
"Seeloknya, baik rancang terlebih dahulu berapa premis nak pergi supaya ada perancangan lebih jelas. Gunakan masa diberi sebaik mungkin (untuk dapatkan barang keperluan)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemantauan SOP di sekitar kawasan Putrajaya pada Selasa.
Tegasnya, penguatkuasaan lebih ketat perlu dilakukan untuk kepentingan semua pihak demi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal sekali gus mengurangkan jumlah kes harian di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP di Putrajaya namun masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya membabitkan pendaftaran secara manual dalam buku.
"Ada premis yang saya lihat ada tulisan tidak boleh dibaca. Nama pun tak boleh baca.
"Saya sudah buat teguran supaya penyelenggaraan buku dibuat dengan teratur dan boleh dibaca.
"Saya juga menyeru pelanggan gunakan aplikasi MySejahtera kerana ia banyak kebaikan, senang untuk mengesan kontak rapat," ujarnya.
Mengulas lanjut had masa dua jam ditetapkan kerajaan, Hasnol Zam Zam menyifatkan tempoh tersebut adalah munasabah.
Jelasnya, ketetapan itu dibuat untuk memastikan jumlah pelanggan dapat dikurangkan dalam satu-satu masa.
#COVID-19
#SOP
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#penyakit berjangkit
#KPDNHEP
#pusat beli belah
#operasi
#Malaysia
#MySejahtera
#beli-belah dua jam