SOP bazar Ramadan: Penganjur harap PBT dapat bantu buat pemantuan
Fareez Azman
April 17, 2021 20:55 MYT
April 17, 2021 20:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penganjuran bazar Ramadan bukan salah peniaga mahupun penganjur.
Demikian jelas Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed susulan isu pelanggaran SOP yang semakin hangat diperkatakan meskipun baharu beberapa hari penganjuran bazar Ramadan.
Sebaliknya, ujar beliau, kawalan pergerakan keluar dan masuk yang lemah serta tindakan menyerbu oleh pelanggan di bazar Ramadan pada waktu puncak adalah punca mengapa SOP tidak dapat dipatuhi.
"Disebabkan keterujaan pelanggan dan pembukaan bazar Ramadan pada hari pertama dan kedua itu, kawalan dari segi kehadiran agak lemah sedikit.
"Walau bagaimanapun, kita berharap pengakuan YB Menteri Datuk Zuraida (Kamaruddin) mengarahkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan pemantauan.
"Kita selaku penganjur hanya merangka dan menyediakan tapak, malangnya kita tiada kuasa untuk membuat apa-apa tindakan kepada pengunjung, (tetapi) dengan adanya pihak berkuasa tempatan turut sama (diharap pelanggan) dapat patuhi sepenuhnya SOP," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.
Mengulas mengenai penjarakan gerai di bazar Ramadan, jelasnya segala peraturan dan garis panduan telah diberikan kepada peniaga agar dipatuhi.
Malah, katanya pihak penganjur turut menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) demi memastikan kelancaran pergerakan pelanggan di setiap bazar Ramadan.
"Penjarakan gerai satu meter ke satu meter dan gerai hendaklah diliputi plastik di bahagian kiri, kanan dan belakang, dan kemasukan pengunjung melalui satu saliran dikawal oleh RELA.
"Walaupun terpaksa menanggung kos, apa sahaja syarat telah dipatuhi, begitu juga peniaga telah dapat garis panduan. Cuma pelanggan pada peringkat awal serta masa juga terhad, jadi mereka berpusu datang," katanya lagi.
Sebelum ini, pemerhatian Astro AWANI di beberapa bazar ramadan di ibu kota mendapati terdapat pelanggaran SOP sepanjang penganjuran.
Malah masih ada segelintir ibu-bapa dilihat membawa anak kecil meskipun dinasihati tidak berbuat demikian ketika kes harian COVID-19 masih menunjukkan peningkatan.
#SOP bazar Ramadan
#prosedur operasi standard
#GPPPKMM
#Bazar Ramadan
#Mohamed Zamri Mohammed
#penganjur
#peniaga
#pelanggan
#pbt