SOP baharu umrah telah siap - Nancy
Sinar Harian
Januari 27, 2022 14:16 MYT
Januari 27, 2022 14:16 MYT
PUTRAJAYA: Garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu ibadah umrah yang dikemas kini oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) telah siap sepenuhnya.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara yang diperhalusi di dalam SOP baharu itu melibatkan masalah kuarantin dan insurans perlindungan jemaah umrah sekembalinya ke tanah air.
Bagaimanapun, beliau berkata, SOP berkenaan belum dimuktamadkan lagi buat masa ini.
"SOP ini perlu dipersetujui oleh pihak-pihak berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diumumkan," katanya pada sidang akhbar majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia di kementeriannya dekat sini pada Khamis.
Mengulas mengenai kekeliruan yang timbul sama ada boleh meneruskan penerbangan umrah pada 8 Februari depan, Nancy menjelaskan, ia tidak semestinya dilaksanakan pada tarikh tersebut kerana banyak perkara perlu dimuktamadkan.
"Sebelum ini diumumkan penggantungan selama satu bulan dari 8 Januari sehingga 7 Februari...Tidak semestinya (8 Februari) terbang terus, mungkin kena uruskan SOP dan tempahan serta sebagainya.
"Saya tidak kata boleh terus terbang tetapi ikut perkataan (yang digunakan) boleh bermula," katanya.
Nancy pada Rabu mengumumkan kabinet bersetuju memutuskan untuk membenarkan semula ibadah umrah bermula 8 Februari depan.
Sementara itu, ditanya mengenai bayaran tuntutan jemaah yang terkesan akibat penangguhan umrah, Nancy berkata, pihaknya sedang mengadakan sesi perbincangan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan mekanisme pembayaran.
“Sebelum ini kita telah bincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan MOF minta MOTAC bincang secara terperinci dengan TH sebelum memanggil pihak terlibat (agensi pengendali umrah),” katanya.
Pada majlis itu, Nancy menyerahkan lima set busana tradisional etnik utama Malaysia berserta aksesori lengkap kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ia akan dipamerkan di 10 pejabat kedutaan atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang strategik di luar negara.
Artikel asal di Sinar Harian