SOP baharu solat di masjid dan surau di P. Pinang

Bernama
Mac 18, 2022 18:06 MYT
Pulau Pinang akan mengambil kira langkah menangani COVID-19 selaras dengan Fasa Peralihan Endemik, dalam menentukan SOP yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah termasuk terawih, di masjid dan surau dalam tempoh terdekat. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan mengambil kira langkah menangani COVID-19 selaras dengan Fasa Peralihan Endemik, dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah termasuk terawih, di masjid dan surau dalam tempoh terdekat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata pihaknya akan mengeluarkan SOP yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid dan surau dalam tempoh terdekat, selaras dengan Fasa Peralihan Endemik menjelang 1 April depan.
"Ia (SOP baharu) sedang didrafkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama agensi berkaitan, dan akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dilaporkan berkata solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan, selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.
Mohd Ajib dilaporkan berkata kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta SOP bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.
-- BERNAMA
#SOP baharu solat #masjid #surau #pulau pinang #MAINPP #prosedur operasi standard #COVID-19 #JHEAIPP
;