SOP baharu diwujudkan, tangani aduan pelabuhan Malaysia kurang efisyen
Rahimah Abdullah
Mac 8, 2018 17:37 MYT
Mac 8, 2018 17:37 MYT
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu akan diwujudkan di pelabuhan negara ini bagi menangani aduan pengimport dan pengeksport bahawa pelabuhan Malaysia kurang efisyen.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada masa sama berkata, pihak Kastam juga akan menambah peruntukan untuk membeli mesin pengimbas di pelabuhan bagi mengesan kegiatan penyeludupan yang menjadi antara punca masalah berkenaan.
“Jadi apa yang kita buat sekarang ini Kastam akan melaburkan lebih banyak dana bagi memperbanyakkan lagi mesin imbasan.
“Kedua, kita akan memperbaharui SOP sedia ada di mana ejen dan syarikat yang membawa masuk barangan seperti minuman keras dan rokok tanpa permit kastam, akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Wisma Kastam Selangor di sini, hari ini.
Tambahnya, masalah itu juga memberi kesan kepada operasi perniagaan terlibat.
“Dalam perbincangan tadi ada beberapa perkara kita telah kenal pasti iaitu isu-isu yang menyebabkan kes-kes penyeludupan.
“Oleh kerana terdapat kes penyeludupan barang yang dibawa masuk ke dalam negara atau barang yang tidak sepatutnya dibawa masuk ke dalam negara, ini menyebabkan semua kontena terbabit dan ia telah menyebabkan kelambatan untuk kelulusan,” jelas beliau.
Tegasnya, kerajaan akan bertindak tegas dalam hal ini memandangkan banyak kes penyeludupan melalui pelabuhan dalam negara.
Ia termasuk tindakan undang-undang ke atas ejen perniagaan terlibat melakukan penyeludupan di pelabuhan.
“Kita sangat tegas dalam hal ini kerana Pelabuhan Klang sahaja kita dapat menahan kontena yang keluar dari pelabuhan dan membawa barang yang dikenakan eksais duti dan import duti berjumlah hampir RM600 juta.
“Sekiranya ia dilakukan oleh syarikat yang tiada nama, kita akan ambil tindakan terhadap ejen sebab mereka terlibat secara langsung dan bekerjasama dengan penyeludup untuk membawa masuk barang tersebut. Kalau ejen tidak tahu siapa pemilik barang tersebut, sudah tentu dia tidak ambil,” ujarnya.
#JOHARI ABDUL GHANI
#kastam
#kerajaan
#Klang
#Liow Tiong Lai
#Malaysia
#Media
#menteri
#operasi
#SOP
#undang-undang