SOP Aidilfitri: Tiada beza 'kluster kayangan' atau 'kluster bumi', semua perlu patuh

Isabelle Leong
Mei 27, 2020 08:14 MYT
Ismail Sabri berkata SOP tersebut tidak mengira rakyat biasa ataupun golongan ternama dan jika berlaku pelanggaran SOP, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan ke atas pelaku. - Gambar hiasan
Prosedur operasi standard (SOP) sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah sama tanpa mengira status seseorang.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP tersebut tidak mengira rakyat biasa ataupun golongan kenamaan.
Beliau memberi jaminan polis akan menyiasat sebarang perlanggaran termasuk jika dilakukan oleh golongan kenamaan.
“Tidak ada perbezaan antara 'kluster kayangan' atau 'kluster bumi'... sama sahaja. Sesiapa yang salah akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di media sosial, terdapat golongan kenamaan dan bangsawan yang didakwa melanggar SOP perayaan termasuk tidak mengamalkan penjarakan sosial dan jumlah tetamu melebihi had dibenarkan pada hari raya pertama.
Pada 18 April, beliau dilaporkan berkata tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang dan terlepas jika melanggar peraturan ditetapkan.
#Aidilfitri #ismail sabri yaakob #kluster bumi #kluster kayangan #SOP #undang-undang