Sony dikhabarkan lancar PlayStation 5 Pro penghujung tahun ini

Amanz
Julai 22, 2024 04:09 MYT
Seperti PlayStation 4 Pro, kemas kini pertengahan kitaran konsol ini dijangka meningkatkan kemampuan pemproses berbanding model asas PlayStation 5.
URA-URA mengenai kewujudan Sony PlayStation 5 Pro sudah mula didengari setahun lalu.
Seperti PlayStation 4 Pro, kemas kini pertengahan kitaran konsol ini dijangka meningkatkan kemampuan pemproses berbanding model asas PlayStation 5.
Menurut laporan Insider Gaming, PS5 Pro akan dilancarkan pada penghujung 2024 sebelum Krismas.
Dalam laporan yang sama, pembangun dikatakan boleh memfailkan permohonan persijilan dan operasi untuk PS5 Pro pada penghujung bulan ini dengan kesemua permainan baharu pula perlu menyokong konsol baharu ini bermula September.
Walaupun PS5 pada ketika ini diberikan gelaran pemenang konsol generasi ke-sembilan, jualannya sudah semakin perlahan dengan ia menyebabkan Sony mula menutup beberapa studio yang tidak menguntungkan serta membuang pekerja beberapa bulan lalu. Impaknya turut dirasai oleh kakitangan PlayStation Studio di Malaysia.
Dengan kuasa memproses lebih tinggi, PS5 Pro mungkin boleh menawarkan permainan pada tetapan 4K 60 FPS secara lebih meluas.
Pada ketika PS5 masih belum mampu melakukannya dengan konsisten kerana kekangan spesifikasi perkakasan. -Amanz
#Sony #PlayStation 5 Pro #penghujung 2024 #konsol permainan