Sonny Bill Williams antara 5,000 jemaah sertai Geng Subuh Macam Jumaat

Fahmi Izuddin
Februari 25, 2024 10:10 MYT
Sonny Bill Williams berkata beliau terkejut dengan sambutan yang luar biasa yang ditonjolkan oleh masyarakat Malaysia. - Foto Facebook/Dato' Setia Dr. Naim
PUTRAJAYA: Hampir 5,000 jemaah hadir bagi menjayakan kempen Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada awal pagi Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Na'im Mokhtar berkata, antara daya penarik untuk kempen tersebut adalah kehadiran Bintang Ragbi Dunia, Sonny Bill Williams yang turut serta dan memberi perkongsian dalam sesi tazkirah Subuh.
Tambah Na'im, dianggarkan 90 peratus jemaah yang hadir adalah dalam kalangan belia.
"Dalam program pada pagi ini saya ingat dalam 5,000 lebih kurang jemaah yang datang subuh di Masjid Putrajaya ini, jadi saya rasa dengan ada daya tarikan kedua-dua selebriti dan influencer ini, hampir 90 peratus dalam kalangan belia dapat hadir solat Subuh.
"Kita harapkan semoga dengan suasana dan keadaan sekarang ni, kita dapat istiqamah dan teruskan semoga anak-anak muda yang datang subuh pada hari ini akan meneruskan semangat untuk datang solat Subuh, bukan sahaja dengan kehadiran influencer macam Sonny Bill Williams, Alif Satar. tetapi datang dengan kehendak sendiri," ujarnya selepas menghadiri kempen Geng Solat Subuh Macam Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada Ahad.
Tambahnya lagi, penglibatan selebriti seperti Alif Satar dan bintang sukan seperti Sonny Bill Williams adalah salah satu kaedah untuk mengimarahkan lagi penglibatan orang ramai.
Beliau juga berkata, apa yang paling penting adalah niat untuk menunaikan kewajipan solat secara berjemaah perlu diterapkan dalam diri individu yang hadir dan tidak bersandarkan kepada daya tarikan yang ada.
Selain itu, Bintang Rabgi dari New Zealand, Sonny Bill Williams berkata beliau terkejut dengan sambutan yang luar biasa yang ditonjolkan oleh masyarakat Malaysia.
"Saya tidak sangka ia begini. Saya seorang atlet dan juga seorang Islam dan saya cuba untuk mempromosi agama Islam sebaik mungkin bermula dengan solat Tahajjud dan solat Subuh.
"Saya fahami kepentingan agama Islam dan apa perlu saya lakukan untuk menonjolkan agama indah ini. Saya bersyukur dapat melihat begitu ramai jemaah pagi ini dan insya-Allah saya akan kembali ke sini untuk mempromosikan Malaysia," katanya.
Kempen Solat Subuh Macam Jumaat yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu itu dimulakan dengan solat Tahajjud, kemudiannya solat Subuh, sesi perkongsian oleh Sonny Bill Williams dan diakhiri dengan aktiviti 'briskwalk' di perkarangan masjid.
#Geng Subuh Macam Jumaat #Na'im Mokhtar #golongan belia #sonny bill williams
;