Songlap RM24.2 juta: 10 suspek termasuk pengurus bank dituduh Khamis ini

Sinar Harian
Julai 23, 2024 06:15 MYT
Ramli berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu termasuk pengurus bank yang terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan dianggarkan bernilai RM24.7 juta akan dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Pasukan penyiasat telah mengenal pasti wujud elemen kumpulan jenayah terancang dalam sindiket tersebut yang bertindak secara bersama bagi mendapatkan faedah material.
“Ini merupakan kali pertama kesalahan jenayah komersial diambil tindakan di bawah SOSMA," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.
Ramli berkata, Timbalan Pendakwa Raya telah memberikan arahan untuk menuduh sembilan individu di bawah Seksyen130V(1) Kanun Keseksaan manakala seorang lagi individu akan didakwa mengikut kesalahan berkaitan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Turut dituduh adalah dalang sindiket terbabit serta pengurus bank yang bersubahat dalam kegiatan terbabit," ujarnya.
Jelasnya, siasatan mendapati sindiket ini memulakan perancangan kegiatan sejak penghujung tahun lalu dan mula bertindak pada Mac hingga Jun lalu.
“Mereka didapati mempunyai niat dan perancangan yang rapi sehingga berjaya menghasilkan kad pengenalan palsu dipercayai boleh digunakan dalam urusan bank sehingga mampu memanipulasi alat pengimbas cap jari yang digunakan oleh pihak bank.
“Kita percaya kegiatan sindiket ini telah berjaya dilumpuhkan melalui pertuduhan terhadap 10 individu berkaitan,” katanya.
Pada 15 Jun lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM 24.2 juta.
Ramli dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.
Katanya, seramai 14 individu ditahan termasuk empat pegawai bank dan ahli perniagaan bergelar Datuk di beberapa serbuan di Perlis dan Sabah.
Melalui serbuan yang dijalankan, kita turut merampas tiga unit telefon bimbit berserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM 4,400 dan sebuah komputer riba. - Sinar Harian
#duit hilang dalam akaun #jenayah terancang #pegawai bank #kes mahkamah