Songkran: Manfaatkan cuti tanpa rekod, luang masa dengan keluarga
Bernama
April 14, 2022 14:32 MYT
April 14, 2022 14:32 MYT
KANGAR: Masyarakat Siam menyifatkan pemberian cuti tanpa rekod bagi penjawat awam sempena perayaan Songkran memberi lebih banyak peluang kepada komuniti itu untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Pengerusi Yayasan Orang Siam Malaysia Datuk Siw Chun a/p Eam berkata pemberian cuti itu juga menunjukkan bahawa kerajaan peka dan dekat dengan rakyat tanpa mengira kaum walaupun masyarakat Siam adalah komuniti minoriti di negara ini.
"Dengan adanya keistimewaan ini (cuti tanpa rekod) membuka peluang kepada masyarakat Siam khususnya anak muda untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga mereka di kampung masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sambutan perayaan itu berkata pemberian cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berketurunan Siam bagi meraikan Songkran merupakan satu keistimewaan kepada mereka yang sama-sama berusaha untuk membangunkan negara.
Siw Chun berkata walaupun tiada sambutan Songkran secara besar-besaran sejak pandemik COVID-19 melanda negara, ia tetap disambut sederhana di Wat Siam dan rumah masing-masing.
"Bagi masyarakat Siam, Songkran adalah hari istimewa bagi anak untuk memohon maaf dan restu daripada ibu bapa mereka untuk kejayaan pada masa hadapan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baru Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.
Terdapat 60,000 masyarakat berketurunan Siam di Malaysia dengan sebilangan besarnya di Kedah dan Perlis.
-- BERNAMA