Sonamu: Laman sesawang JMM alami kesesakan
Astro Awani
Januari 8, 2013 11:37 MYT
Januari 8, 2013 11:37 MYT
Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengalami kesesakan dalam talian yang agak teruk kerana dari semalam ianya sukar diakses dan ditembusi.
Kesesakan luar biasa ini dipercayai berpunca dari keinginan orang awam untuk mengetahui maklumat terkini mengenai Ribut Tropika Sonamu yang dijangka akan melanda negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada hari ini.
Sementara jurucakap JMM yang dihubungi oleh Astro Awani tengahari tadi memaklumkan Ribut Tropika Sonamu kini sudah perlahan-lahan beransur lemah dan dijangka tidak menuju ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Kita percaya dalam tempoh 24 hingga ke 36 jam lagi pergerakan ribut itu akan menjadi pegun. Namun begitu, pihak kita masih lagi berjaga-jaga dan memantau perkembangan ribut ini,” kata jurucakap itu.
Amaran hujan peringkat kuning yang diisytiharkan turut telah ditarik semula pada jam 7.10 petang semalam.
Namun begitu, angin kencang dan laut bergelora masih lagi berlaku di negeri-negeri berkenaan dan pemantauan rapi masih lagi dilksanakan oleh JMM.